Tuesday, December 15, 2009

FIKIRLAH SENDIRI

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (al-‘Asr: 1-3)

Islam agama yang syumul. Surah ringkas ini sudah cukup menggambarkan bahawa betapa mahalnya nilai masa dalam hidup manusia sehingga ia menjadi saksi terhadap untung atau ruginya manusia mengendalikan hidupnya sehingga bertemu noktah nihayah. Bernilainya masa dalam hidup manusia, namun ia tidak pernah meminta untuk dihargai. Bukan kerana ia tidak mempunyai suara, lantas ia tiada ruang dan peluang untuk merayu manusia menghargainya. Namun kitalah yang terlalu jahil menghargai setiap detik masa yang telah berlalu dan bakal berlalu. Kita jahil dalam mendalami kefahaman kita terhadap surah yang cukup ringkas dan padat ini. Kita terlupa mungkin, bagaimana caranya kita menghargai masa, begitu jugalah ia menjadi saksi dalam menghitung keberjayaan mahupun kegagalan kita dalam imtihan yang bakal menjelang ini.

Melihat kepada fenomena warga KPIPM khususnya, barangkali surah ringkas yang telah kita hafal dan ketahui maksudnya sedari kecil ini hanya sesuai dibaca seusai sesuatu majlis, perjumpaan dan mesyuarat sahaja. Lantaran kesibukan kita dalam menyusun atur hidup di bumi anbiya' ini, meralitkan kita untuk menilik kembali di darjat manakah telah kita letakkan masa sehingga akhirnya kita tergolong di kalangan mereka yang rugi dan menyesal dengan masa lalu?

Menyentuh tentang imtihan yang bakal tiba lebih kurang sebulan sahaja lagi...sekali pandang, kelihatannya masih jauh untuk kaki melangkah ke dewan imtihan. Seolahnya masih ada waktu untuk bertatih menelaah kitab, masih punya masa untuk berbual kosong. Masih, masih dan masih…dan akhirnya kita tersepit, maka kita mengharapkan masa yang ada melebihi dari 24 jam sehari. Kita lupa mungkin, dalam kepelbagaian jenis dan reka bentuk jam yang tidak mampu kita hitung, di sana terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap iaitu 1 hari = 24 jam, 1 jam = 60 minit, 1 minit = 60 saat...lakukanlah apa sekalipun, ia tetap dan tidak akan berubah.

Jika kita seorang pemimpin, insan yang diamanahkan melayari bahtera KPIPM berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, ke manakah kepadatan masa yang kita bicarakan selama ini telah kita laburkan atau mungkin juga kita sia-siakan? Tiada ertinya jika kita hebat di gelanggang persatuan tetapi amanah keluarga kita kesampingkan hingga ia menjadi tohmahan terhadap golongan pimpinan.

Jika kita hanya sebagai ahli, ke manakah perginya masa yang sewajarnya kita peruntukkan untuk merealisasikan sifar gagal? Barangkali masa yang kita miliki tidak mencukupi lantaran dalam sehari berbelas jam disia-siakan menonton movie, berchatting, berkhayal dan sebagainya.

Siapa pun kita, berlaku adillah dengan diri sendiri. Sekalipun tidak mampu berkata jujur pada orang lain, usahlah diri sendiri diperbodohkan. Jika selama ini mulut lantang bersuara memuhasabah rakan-rakan lain, ambillah sedikit waktu untuk memuhasabah diri sendiri. Koreksilah kembali diri…barangkali segala nasihat dan amanat yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada kita telah kita bakul-sampahkan disebabkan kebodohan dan kesombongan yang beraja di hati.

Inginkan kejayaan tanpa membayar dengan sejumlah besar pengorbanan, maka ia adalah sesuatu yang mustahil menurut perkiraan akal manusia. Jika tidak sanggup berkorban...silakan...kerana bukan siapa-siapa yang akan menolong kita jika bukan diri kita sendiri.

Mantan Presiden PMRAM, Us Hairul Nizam bin Mat Hussain, dalam blog beliau menyatakan.."Sepatutnya seorang pelajar hanya sepatutnya tidur dalam jangka masa 6 jam sehari. Baik, katakan mereka menyambut seruan ini untuk study sehari dalam masa 10 jam, ini bermakna ada 8 jam lagi buat mereka untuk dihabiskan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Persoalannya mengapa masih tidak mahu serius dalam study. Adakah satu hari hanya mahu study sejam sahaja atau 2 jam atau 3 jam? Kalau hanya itu waktu untuk study, saya pasti kawan-kawan tidak akan mampu untuk menggondol natijah Imtiyaz ataupun Jayyid Jiddan."

Jadi, apa lagi yang ditunggu...berkorbanlah untuk tidak terkorban. Korbankan masa kalian untuk mencedok sebanyak mungkin mutiara ilmu di sini agar di masa hadapan anda tidak menjadi mangsa korban atas kebodohan diri anda melaburkannya ke pelaburan yang sia-sia.

"Kejayaan adalah hasil usaha mereka yang gigih berusaha. Kecemerlangan merupakan usaha yang tidak putus asa. Kegembiraan adalah anugerah yang amat berharga bagi mereka yang berjaya."

Ya Allah, semoga kejayaan akan tertulis indah buat kami...amin Ya Rob!

Wednesday, November 25, 2009

KPIPM BERSAMA PMRAM


Generasi muda yang terpelajar adalah merupakan pelapis pemimpin masa hadapan. tidak dapt tidak segala pandangan dan pendapat mereka bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng.tetapi sebaliknya harus difikirkan secara releven untuk dilaksanakan. Begitu jugalah realitinya kini, apa yang telah berlaku terhadap seluruh mahasiswa al azhar di perlembahan nil ini.

Kpipm juga menyokong DESAK iaitu sebuah organisasi yang dibentuk bagi mendesak Jabatan Penuntut Melaysia Kaherah ke atas tiga perkara untuk dilunaskan iaitu membersihkan nama PMRAM secara rasmi di peringkat Al-Azhar, memohon maaf secara rasmi dan mengadakan dialog terbuka bersama seluruh mhasiswa di Mesir.

Seperti sedia maklum, pekara ini berlaku oleh kerana pihak Jabatan Penuntut telah menghantar surat pembatala untuk menggunakan dewan Al-Azhar bagi menjayakan majlis pembacaan kitab hadis disamping mendakwa PMRAM sebagai sebuah pertubuhan parti politik pembangkang. Ini sekaligus membuka mata ramai pihak bahawasanya mahasiswa-mahasiswa mempunyai keberanian untuk bersuara menyatakan hak mereka.

PMRAM yang merupakan sebuah pertubuhan pelajar yang berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir sudah lama bertapak hingga menjangkau hamper 79 tahun. Selama itulah segala kebajikan, keselamatan dan pendidikan mahasiswa Malaysia di Perlembahan Nil ini disediakan melalui beberapa platform dan medium sejajar dengan arus peningkatan kualiti
pembelajaran. Mana mungkin PMRAM mengabaikan warga azhari dalam meningkatkan thaqafah dan mencurahkan bakti kepada masyarakat Malaysia kelak.Oleh kerana itu, program majjlis pembacaan kutub sittah direncanakan sebagai salah satu wasilah untuk memastikan mahasiswa Al-Azhar sentiasa di hadapan.

Perkara ini mendapat perhatian masyarakat di malaysia sehingga diperbahaskan di
dewan parlimen baru-baru ini. Ternyata, isu ini merupakan salah satu bukti bahawa hak mahasiswa harus diketengahkan dan bukan lagi sebagai satu isu tempelan yang tidak diendahkan. Perkara ini juga mendapat liputan yang meluas di dada akhbar tidak terkecuali media massa di mesir itu sendiri.

Monday, October 12, 2009

HUTANG


Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli sesuatu barangan. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.
Daripada sabda nabi SAW yang bermaksud :

" Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban.Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)


Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :

Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugi kannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )


Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat Islam agar berdoa dilepaskan dari hutang iaitu :

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"
Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu yang boleh. Beberapa tindakan perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Janganlah hanya ingin nampak bergaya kita sanggup berhutang. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Orang yg berhutang, apabila diberikan amanah dia khianat, apabila dia berjanji dia mungkir, apabila dia bercakap dia berbohong".

Memang betul. Majoriti orang yg berhutang tak kiralah samada kawan sendiri, saudara sendiri atau sesiapapun tiga ciri-ciri yang Nabi sebutkan ini akan
mula wujud wujud dalam diri penghutang tersebut.

Nasihat saya kepada mereka-mereka yang berhutang, bayarlah hutang anda itu. Jika sudah ada duit, dahulukanlah duit anda itu untuk langsaikan hutang anda. Jangan fikir nak enjoy saja. Ingat sahabat-sahabat, jika di dunia kita terlepas di akhirat kelak pasti menanti kita untuk dihisab.

Thursday, September 10, 2009

SEJARAH PEMIKIRAN KEBENDAAN DAN PERKEMBANGANNYA


Sejarah perkembangan Pemikiran Kebendaan boleh dibahagikan kepada dua peringkat :

1. Peringkat Pemikiran Kebendaan Dahulu
2. Peringkat Pemikiran Kebendaan Terkini

Peringkat Pemikiran Kebendaan Dahulu :

1. Kebendaan Kurun Ke 18
2. Kebendaan Kurun Ke 19
3. Kebendaan Kurun Ke 20

Peringkat Pemikiran Kebendaan Dahulu

1. Menjelaskan cara pemikiran daripada Yunani yang dikategorikan sebagai paling bahaya kerana cara pemikiran mereka salah dan menyeluruh.
2. Antara aliran yang terkemuka ketika ini ialah :

a. Aliran Ath Thobi'iyyah Al Muta'akhhirah
b. Aliran Ar Rawaqiyyah
c. Aliran Al Abqoriyyah


Aliran Ath Thobi'iyyah Al Muta'akhhirah

1. Terbentuk setelah mengalami 4 perubahan, iaitu :

a. Aliran Al Iyuniah

i. Permulaannya adalah Aliran Al Iyuniah yang memikirkan kebendaan semata-mata.
ii. Menolak secara jelas kewujudan perkara ghaib.

b. Aliran Al Iliya'iyyah

i. Aliran tersebut bertukar kepada Aliran Al Iliya'iyyah yang dikaitkan dengan Iliya', kawasan pantai di Selatan Eropah.
ii. Mereka mula mempercayai kewujudan perkara ghaib dengan mempercayai kewujudan tuhan yang satu.
iii. Kurang memberi tumpuan tentang kebendaan.
iv. Mempopularkan hakikat berdasarkan deria semata-mata.

c. Aliran Al Phitaghorithiah

i. Kemudian aliran tersebut mengalami revolusi kepada Aliran Al Phitaghorithiah dikaitkan kepada tokoh falsafah mereka Pitagoras.
ii. Pemikiran ini cuba menggabungkan kedua-dua aliran sebelumnya dan mengatakan kewujudan alam bermula daripada angka.
iii. Kurang memberi penumpuan tentang kebendaan seperti sebelumnya.

3. Aliran Ath Thobi'iyyah Al Muta'akhhirah

a. Diasaskan oleh Demokritis (470-361 SM), seorang ahli falsafah Yunan terkemuka dan terkenal di seluruh dunia kerana pandangannya telah memberi kesan yang teruk pada sejarah perkembangan Pemikiran Islam.
b. Pendapat lain mengatakan bahawa Leosbas adalah pengasas pemikiran ini, dan dikembangkan oleh Demokritis dengan menggariskan beberapa asas dan bahagian.
c. Demoktiris mencanangkan kebendaan tunggal yang tidak terbahagi lagi atau lebih dikenali sebagai Teori Zarah.
d. Asas Teori Zarah ialah setiap benda terbentuk daripada bahagian-bahagian kecil yang tidak terhitung, iaitu Objek Tunggal, yang bercantum dan berpecah, lalu membentuk jisim-jisim yang mendapat bekalan tenaga daripada pergerakan yang terjadi pada zarah tersebut.
e. Sekiranya zarah (objek tunggal) tersebut bercerai, ia akan menyebabkan sesuatu jisim itu musnah.
f. Demokritis menjelaskan lagi dengan menambah sebuah lagi kewujudan, iaitu ruang dan mengatakan bahawa setiap jisim terdiri daripada zarah dan ruang. Contohnya seperti kayu yang timbul di permukaan air dan cahaya yang dapat menembusi objek lutsinar.
g. Beliau juga menyatakan bahawa tuhan juga terbentuk daripada zarah-zarah yang halus yang berbeza dengan zarah-zarah yang lain.
h. Lebih teruk lagi, beliau menyatakan bahawa jiwa dan deria juga merupakan benda yang terdiri daripada zarah-zarah.
i. Apabila manusia bersentuhan dengan sesuatu objek, zarah-zarah pada objek tersebut akan meresap pada badan manusia dan zarah-zarah pada badan manusia menuju ke otak.
j. Selain itu, kebahagian yang dialami oleh manusia terjadi apabila zarah-zarah pada badan yang digunakan, mendapat kepuasan.
k. Beliau menambah lagi bahawa jiwa dan deria merupakan dua benda yang terbentuk daripada zarah. Maka jiwa manusia terbentuk daripada gabungan zarah-zarah yang sangat halus, yang bergerak dengan laju dan menyerupai zarah-zarah yang terdapat pada api.
l. Inilah zarah-zarah yang membentuk angin, cahaya dan sebagainya.
m. Beliau juga menyatakan bahawa setiap benda yang terdiri daripada objek tunggal tersebut bersifat sedia ada dan kekal selamanya, cuma benda tersebut mengalami beberapa perubahan yang disebut sebagai revolusi.
n. Beliau menolak kewujudan perkara ghaib, seperti azab kubur, syurga, neraka dan sebagainya.
o. Pandangan beliau tersebar luas sehingga ia dijadikan sumber sehingga kini.
p. Pandangan beliau juga telah dipersetujui oleh Ambazuklis (490-430 SM) yang mempopularkan 4 unsur utama, iaitu tanah, air, api dan udara.
q. Beliau mengatakan bahawa semua benda terdiri daripada 4 unsur ini yang bergabung berdasarkan ukuran-ukurannya.
r. 4 unsur ini digabungkan pula dengan suka dan benci. Sekiranya kiraan suka melebihi benci, eloklah benda tersebut. Begitulah sebaliknya.
s. Beliau menambah lagi bahawa pemikiran bergantung pada hati yang merupakan pusatnya. Darah adalah sebab pemikiran tersebut, kerana darah merupakan campuran yang sempurna. Pemikiran manusia berbeza berdasarkan jenis, saiz, laluan dan percampuran darah dengan tubuh manusia.
t. Sekiranya unsur yang sama bersentuhan, ia akan meresap ke dalam tubuh manusia dan disampaikan ke otak.
u. Begitu juga psikologi, deria dan pemikiran manusia yang turut terbentuk daripada 4 unsur ini.



Aliran Ar Rawaqiyyah

1. Banyak mempengaruhi pemikiran kebendaan zaman lampau.
2. Mengatakan bahawa pemikiran manusia bergantung kepada 5 deria yang akan membentuk lakaran pada pemikiran.
3. Seorang kanak-kanak diibaratkan sebagai sehelai kertas putih yang tiada sebarang lakaran. Deria-deria tadilah yang melakar padanya seperti cop yang terbentuk pada kertas bergantung kepada bentuk potongan getah cop tersebut.
4. Oleh itu, pemikiran manusia dibentuk oleh deria-deria tersebut yang turut dipengaruhi oleh suasana dan keadaan.
5. Semua kewujudan di sekeliling hanyalah kewujudan deria sahaja dan benda yang tidak dapat dikesan oleh deria disifatkan sebagai tidak wujud.
6. Oleh itu, semua benda yang disifatkan sebagai wujud adalah benda, termasuk tuhan, jiwa dan sebagainya. Tetapi perkara ini terdapat dua perbahasan, iaitu :

a. Kesatuan wujud memerlukan kepada deria, oleh itu alam merupakan satu benda dan ia mestilah bermula daripada asas yang satu.
b. Jisim dan nafsu bekerjasama antara satu sama lain. Begitulah tuhan dan alam yang berinteraksi antara satu sama lain. Contohnya ialah pergerakan tubuh dipengaruhi oleh jiwa, dan perkara ini hanya terjadi dengan unsur yang satu. Maka benda tidak dapat memberi kesan pada bukan benda, begitulah sebaliknya.

4. Heroclotus pula menerangkan lagi bahawa api merupakan asas setiap perkara. Setiap perkara atau benda yang wujud berdasarkan gabungan dengannya. Tuhan adalah api yang pertama, dan jiwa manusia juga dikatakan seperti itu.
5. Beliau menambah lagi bahawa api adalah sesuatu yang berakal, begitulah tuhan dan alam. Hasilnya adalah seperti berikut :
a. Alam bergerak dengan tujuannya berdasarkan akalnya.
b. Alam terikat dengan undang-undang sebab dan musabbab.
6. Mereka berpendapat bahawa alam bersifat sedia ada, akan tetapi sistemnya adalah baru dan kejadian adalah gabungan masa dan tempat.
7. Mereka juga cuba menjelaskan satu perkara supaya dapat diterima akal sepenuhnya.



Aliran Al Abqoriyyah

1. Pengasasnya ialah Abicore yang lahir pada 342 SM yang banyak merujuk kepada pemikiran Demokritis.
2. Pemikiran beliau digunapakai selama 6 kurun/600 tahun dan pemikiran beliau tiada sebarang penambahan daripada generasi-generasi beliau.
3. Beliau banyak mengemukakan pandangan berdasarkan eksperimen-eksperimen beliau yang berasaskan teori zarah sepertimana Demokritis.
4. Beliau melarang manusia daripada memikirkan tentang kematian dan hari akhirat kerana akan menyebabkan kegembiraan dan ketakutan.
5. Beliau juga menjelaskan tentang deria dengan mengatakan bahawa pengetahuan yang disampaikan oleh deria adalah benar, sekiranya perkara tersebut diragui, bermakna perbuatan dan pergerakan kita turut diragui.
6. Semua perkara yang dapat dicapai oleh deria dikategorikan sebagai pengetahuan yang akan tersimpan di otak.
7. Deria merupakan satu sumber yang terpenting bagi aliran ini.
8. Kebahagiaan pula dikategrikan sebagai kelazatan jisim sahaja, tidak bermaksud sebagai bukan benda.
9. Oleh itu, semua perkara yang dirasakan baik oleh jisim merupakan perbuatan yang baik, walaupun pada pandangan orang lain, ia merupakan sebaliknya.
10. Maka akhlak adalah sesuatu yang memberi manfaat atau faedah pada zat.


Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Tahun 4,
Kuliah Usuluddin,
Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar, Kaherah

Wednesday, July 8, 2009

BACAAN HANYA UNTUK PEPERIKSAAN?


Penurunan wahyu pertama Allah s.w.t kepada Baginda Nabi s.a.w sudah jelas menggambarkan peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam permulaan sesuatu amalan atau pekerjaan hatta kepada misi kenabian itu sendiri. Apabila diperhatikan dalam sudut yang lain pula, wujud anjuran daripada Allah Taala supaya menambahkan ilmu pengetahuan dan melipatgandakannya.

Ibnu Qayyim Al-Jauziah Rahimahullah berkata: Cukuplah ayat ini menerangkan kemulian ilmu dan suruhan kepada nabiNya supaya menambahkan ilmu. Juga turut dikatakan, sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyuruh para Rasulnya menambahkan dalam sesuatu perkara kecuali dalam menambahkan ilmu. Sekiranya kita menyoroti perjalanan sirah-sirah Rasul terdahulu, wujudnya teladan dalam menuntut ilmu yang ditunjukkan oleh rasul-rasul sendiri, seperti yang dirakamkan dalam surah Al-Kahfi, kisah Nabi Musa a.s menuntut ilmu pengetahuan daripada Nabi Khidir a.s.

Nah, sekarang sudah jelas kepada kita akan kepentingan ilmu dan kepentingan mengayakan diri dengan ilmu. Walaupun peperiksaan kita sudah berakhir, jangan pula kita lalai,leka,lembik,lesu,lemah,longlai dan lelah untuk terus menuntut ilmu dan membaca kitab-kitab. Banyak lagi yang kita tidak tahu kan?? Ataupun sahabat-sahabat dah rasa hebat,mantap dan kejap dengan tahap ilmu yang kita ada sekarang?? Tanyalah diri masing-masing. Nilailah diri masing-masing. Timbanglah diri masing-masing. Marilah sama-sama kita ambil iktibar daripada beberapa kisah ulama-ulama terbilang kita dalam usaha dan kesungguhan mereka dengan ilmu.

Suatu hari Ibnu Taimiyyah rahimahullah terlantar sakit tenat lalu berkata seorang tabib kepadanya: “Sesungguhnya ulangkajimu dan bacaanmu yang terlampau akan menambahkan sakit kamu,” maka Ibnu Taimiyyah rahimahullah menjawab: “Sesungguhnya aku tidak boleh sabar dengan ilmu, dan aku mahu bertanyakan satu perkara kepadamu, berdasarkan kepada ilmu kamu bukankah sakit seseorang akan berkurang apabila hati berasa senang dan gembira??” Jawab tabib tersebut: “Ya bahkan benar sekali,”. Lalu Ibnu Taimiyyah menjawab : “Maka aku berasa senang dan gembira dengan ilmu,”.

Berkata Abu Syaamah al-Maqdisi, menceritakan mengenai al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi: “Sesungguhnya matanya telah menjadi kabur dan tidak jelas disebabkan terlalu banyak membaca dan menangis. Tidak ada orang setanding beliau dalam ilmu hadis pada zamannya,”.

Dikatakan bahawa Ibnu Mubarak radhiallahu `anhu tidak banyak bergaul dengan orang ramai, maka ditanyakan kepadanya:” Kenapakah kamu selalu sendirian dirumah??”. Beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak bersendirian, sedangkan Baginda Nabi sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabatnya berada dirumahku..” (iaitu kitab-kitab dan tulisan ilmu)

KISAH-KISAH BACAAN PARA ULAMA

Khatib Baghdadi rahimahullah membaca kitab Sahih Bukhari dalam 3 kali majlis.

Al-Imam al-`Iz Abdul Salam rahimahullah membaca kitab Nihayatul Mathlab dalam masa 3 hari.

Al-Hafiz al-Mizzi rahimahullah membaca al-Mu’jam al-Kabir dalam 60 majlis.

Imam Zahabi rahimahullah membaca sirah Ibnu Hisyam dalam 6 hari sahaja.

Al-Hafiz Zainuddin al-Iraqi rahimahullah membaca Sahih Muslim dalam 6 majlis. Membaca kitab Al-Musnad dalam 30 majlis.

Imam Sirajuddin Bulqini rahimahullah membaca kitab Feqah dalam semua masalah dalam masa 1 hari sahaja.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

> membaca sahih Bukhari dan Sunan Kubra dalam masa 10
majlis dan sahih Muslim dalam masa 5 majlis.
> membaca Sunan Ibnu Majah dalam masa 10 majlis
> membaca al-Mu’jam as-Soghir dalam masa 1 majlis

Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan pengajian dan pembacaan kita sehari-hari tanpa sebarang ikatan peperiksaan ataupun sebagainya. Sekiranya ingin menjadi ulama’ maka perlulah ikut thariq ulama’. Apapun kita menuntut ilmu hanya semata mencari Redha Allah s.w.t. Ikhlaskan kembali niat asal kita semua kesini. Moga kita semua dibawah inayah dan nusrah Allah s.w.t.

Disediakan oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

Saturday, June 13, 2009

IMTIHAN DAN PENGORBANAN

Menjengah musim peperiksaan membuatkan hati makin sempit dan ketat untuk perkara-perkara lain yang membuang masa, selain daripada urusan menelaah pelajaran. Masa 24 jam yang dikurnia mahu diguna sepenuh dan semaksima mungkin untuk kepentingan diri bagi memastikan penguasaan pelajaran dicapai sepenuhnya. Fenomena ini adalah sesuatu yang positif lantas menjahkan perubahan kearah yang lebih berdisiplin dan teratur. Namun, sesuatu mahu diingatkan disini, tentang ukhuwah dan tentang indahnya i’brah sirah, untuk kita sama-sama fikir dan renung sejenak, mengapa kita ditempatkan bersama manusia-manusia lain hanya kita dan dunia kita semata.

Penghijrahan Baginda Nabi S.A.W bersama bapa ZaatuNitaqain meninggalkan mutiara-mutiara i’brah yang cukup berkilau. Keberaniaan gadis yang berusia muda terserlah apabila meredah kepekatan malam tanpa ditemani siapa-siapa demi menghantar bekalan makanan kepada Baginda Nabi S.A.W dan bapanya selama 3 malam. Apa yang difikirkan oleh gadis kecil ini? Semestinya dia sedang memikirkan tentang sumbangan yang perlu disumbangkan dalam peristiwa bersejarah ini, walau hanya sekadar menghantar makanan, bukannya membunuh musuh atau sumbangan lain yang lebih bermakna pada nisbah manusia. Lebih mengharukan bagaimana sanggup mengorbankan tali pinggangnya (yang ketika itu setiap gadis-gadis arab mesti memilikinya) untuk mengikat bekalan makanan buat perjalanan penghijrahan insan mulia.

Allah ta’ala yang Maha Penyayang tidak pernah membiarkan apa-apa amalan yang dibuat oleh hambanya sepi tanpa nilaian. Sekali pandang, sumbangan Saidatuna Asma’ adalah suatu yang biasa, seolah-olah nisbahnya dengan dunia perfileman atau drama rekaan manusia, dimana penonton sudah pasti hanya akan memandang watak utama tanpa sedikit pun melihat siapakah pembantu rumah yang sedang memasak, atau siapakah tukang sapu yang turut serta memenuhi watak-watak dalam drama atau filem tersebut. Disinilah indahnya Islam dan pengasihnya al-Khaliq terhadap hamba-hambanya. Biar kecil sumbangan yang dihulur, sedikit pun tidak dibiar tanpa anugerah hingga Saidatuna Asma’ dijanjikan dengan Nitaqain (dua tali pinggang dari syurga) diakhirat kelak.

Disinilah tujuan utama risalah ini ditulis, mahu dan ingin sekali menjemput pembaca budiman untuk sama-sama kita fikirkan tentang “ dimana juga situasi kita, lapang atau sempit, pupukkan dalam diri tentang mahu bertolong menolong dalam kebaikan dan tidak sama sekali bergandingan didalam kejahatan” bersesuaian dengan potongan dari surah al-Maidah ayat 2 diatas. Malu jika kita tahu tentang sejarah, malangnya sejarah itu menjadi sejarah lapuk dan berhabuk dalam diri tanpa ada istifadah bernilai ditepuk keluar. Dasar Islam menyeru kepada berjemaah jelas menuntut untuk kita saling bergandingan dan bantu membantu didalam kebaikan.

Gerakkan dalam diri untuk sentiasa berfikir apakah bentuk-bentuk pertolongan yang ingin kita sumbangkan dalam kebangkitan Islam, sebagaimana runsingnya hati Saidatuna Asma’ yang meronta ingin melakukan sesuatu yang boleh disumbang. Jangan sekali kita menunggu selepas tamat pengajian, atau ‘nanti-nantilah’. Bermulalah dari sekarang, biar kecil dan sedikit, tidak perlu difikir tentang itu, utamanya, kita sedang melakukan sesuatu untuk Islam, dan perlu diingat, umur kita tidak dijamin sampai esok.

Hakikatnya, kita memasak untuk teman-teman serumah, juga satu bentuk pertolongan ke arah kebaikan yang cukup besar. Biar masa telaah terbuang sedikit (itu akan diganti oleh Allah semestinya), namun kita telah bantu memudahkan urusan teman-teman yang lain didalam medan perjuangan mereka (dan hakikatnya kita berada dalam medan perjuangan yang sama -Allahumma amen). Niat dihati juga perlulah jelas dan tepat, ikhlas dan niatkan segalanya untuk Islam. Buat akhirnya, fatrah imtihan yang sedang kita lalui ini harapannya kita mampu membentuk hati dan mentarbiyah diri untuk sentiasa mahu memberi masa pada orang keliling ketika kita diperlukan untuk satu-satu masa dan satu-satu bentuk pertolongan. Potongan ayat suci dan Hadis diatas satu tasyji’ untuk kita pegang sebagai pemujuk hati. Mudah-mudahan hati sentiasa mengingat diri. Wallahua’lam. Bittaufiq
.

KELUARGA KITA

Fitrah insani mengimpikan sebuah keluarga yang dipenuhi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Namun begitu, proses pembentukan keluarga muslim ini tidak hanya dipertanggungjawabkan ke atas ibu bapa malah anak-anak juga perlu turut memainkan peranan dan memberikan kerjasama yang terbaik untuk merealisasikan impian ini.

Berbicara tentang keluarga, ruang lingkupnya tidak hanya terbatas pada ibu bapa dan anak-anak malah pada ruang lingkup yang lebih besar, kita melihat persatuan juga turut berperanan sebagai sebuah keluarga.

Keluarga dan persatuan hampir serupa, sedikit perbezaan tetapi banyak persamaan. Jika di dalam keluarga, bapa adalah ketuanya, maka di dalam persatuan, Presiden atau Yang DiPertua adalah ketuanya. Jika di dalam keluarga, ada anggotanya, di dalam persatuan juga ada ahlinya. Jika kaedah dan perundangan diperlukan untuk membentuk keluarga muslim, ia juga diperlukan oleh persatuan sebagai panduan dan perlu dipatuhi oleh setiap ahli bagi memastikan segalanya berjalan lancar mengikut silibus yang telah disusun oleh Allah SWT.

Saidina Ali r.a menyebutkan "Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa pimpinan, tiada pimpinan tanpa ketaatan"

Melewati angka 70-an, ia bukanlah satu usia tua yang menjadi penghalang bagi keluarga besar anak-anak melayu di Perlembahan Nil ini untuk terus melangkah kehadapan. Tua keluarga kita adalah tua yang kaya dengan pengalaman, namun kitalah yang terlalu naif dalam menilai setiap mekanisme yang dibawakan oleh ketua keluarga.

Pelbagai kempen biah solehah yang digerak-gempurkan samada di peringkat PMRAM mahupun KPIPM tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kita. Risalah yang dikeluarkan, tazkirah yang disampaikan, roadshow yang dijalankan dan lain-lain hanya dipandang sepi tanpa ada kesedaran walaupun hakikatnya masing-masing telah mempelajari dan memahami apa itu "biah solehah".

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa' ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman ! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu selagi mana dia berpegang dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Anak yang soleh/solehah pastinya akan mendengar setiap arahan atau keputusan yang dikeluarkan oleh ibu bapanya sekalipun dalam keadaan keterpaksaan. Begitu juga konsep berpersatuan, thiqah dan wala' pada setiap arahan, qoror dan keputusan pimpinan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam, amatlah penting dalam menatijahkan suatu persatuan yang padu dan mampu menangani segala perkara dan anasir-anasir yang ingin menjatuhkan persatuan. Keretakan dan keruntuhan akan berlaku sekiranya kita tidak memberikan thiqah dan wala' sepenuhnya kepada pimpinan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud :-

"Wahai orang yang beriman janganlah sesuatu kaum (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum lelaki yang lain, kerana boleh jadi mereka yang dicemuhkan itu lebih baik dari mereka yang mencemuh. Dan jangan pula sesuatu kaum dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kaum perempuan kerana boleh jadi mereka yang dicemuh lebih baik dari mereka yang mencemuh"

Antara kaedah dan perundangan yang telah digariskan oleh Islam bagi menjamin keharmonian dan keutuhan sesebuah keluarga atau persatuan adalah dengan menjaga hubungan sesama anggota. Sewajarnya, kita menghiasi peribadi kita dengan sikap hormat menghormati, bertoleransi antara satu sama lain dan berlapang dada dalam menerima teguran serta menjaga setiap tutur kata kita agar tidak menyentuh sanubari sahabat yang lain.

Kesimpulannya, usahlah kita memandang enteng semuanya ini, lantaran objektif penubuhan keluarga muslim tidak akan terealisasi tanpa adanya kemahuan dan komitmen daripada setiap anggotanya.

Disediakan oleh :
Unit Bait Muslim,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

Friday, June 5, 2009

MENGENALI AJARAN SESAT DI AKHIR ZAMAN

Semakin hari, dunia kita mengalami bermacam-macam jenis perbuatan pelik manusia yang diistilahkan sebagai ajaran sesat. Ajaran sesat di seluruh dunia sudah lama muncul, kerana apa yang dikatakan sebagai sesat ialah mana-mana jenis pemikiran yang terkeluar daripada skop Islam. Atau dengan istilah yang lebih khusus, sejenis penyebaran pemikiran yang terpesong daripada akidah Islam.

Pelbagai istilah dan perkataan digunakan untuk menyesatkan manusia hari ini, kononnya merekalah yang membawa ajaran sebenar. Apa yang boleh kita lihat di seluruh dunia, di sana terdapat beberapa ajaran-ajaran yang tersimpang dari kebenaran dengan jelas dan nyata.

Golongan ini mendakwa bahawa mereka membawa Islam, sedangkan tersembunyi di belakang mereka gerakan Freemason, Sekularisme, Komusnisme dan sebagainya. Mereka meletakkan dan menokok tambah apa yang terdapat di dalam Akidah Tauhid, semata-mata untuk menghancurkan Islam. Contohnya :

1. Al Yazidiah

Kumpulan sesat yang ditubuhkan pada 132 Hijrah ketika Zaman Daulah Umawiyyah, yang pada mulanya diasaskan hanya sebagai gerakan politik ketika itu, tetapi semakin lama dipengaruhi dengan unsur-unsur kesesatan sehinggalah mereka menganggap bahawa Yazid bin Mu’awiyyah sebagai manusia suci.

Mereka mengatakan bahawa Yazid akan kembali sebagai as Sufyani pada akhir zaman untuk menyelamat dunia ini, menegakkan keadilan dan banyak lagi pegangan-pegangan sesat dan syariah-syariah mereka yang tersimpang dari ajaran Islam.

Selain itu mereka turut mensucikan Iblis (ketua Syaitan) dan Malaikat Izrail (pencabut nyawa), mempunyai perayaan khusus yang disambut pada permulaan Tahun Baru Masihi dan menambah beberapa rukun lagi pada Rukun Islam.

Gerakan ini tersebar ke Syria, Turki, Iran, Rusia, Iraq dan beberapa generasi mereka di Lubnan, Jerman dan Belgium. Bilangan mereka ketika ini sekitar 120 000 orang, iaitu 70 000 daripadanya berada di Iraq, dan selebihnya bertebaran ke seluruh dunia.

Sebahagian daripada mereka berdarah Arab, bertutur dengan Bahasa Kurdi, dan mereka memiliki sebuah perpustakaan bernama Perpustakaan al Umawi Li ad Dakwah al Arabiah, terletak di Jalan ar Rasyid di Baghdad.

2. Al Qaramithah

Gerakan ini disandarkan kepada Hamdan bin al ‘Asy’ath dari Khazastan. Golongan ini men“syiah”kan keluarga Baginda SAW dan menasabkan kepada Muhammad bin Ismail bin Jaafar as Sadiq. Hakikat mereka adalah Atheis seperti Mazdakiah dan Zaradasytiah, dan merosakkan akhlak.

Mereka juga bersembunyi di belakang Islam, sedangkan mereka adalah Majusi (menyembah matahari), berpegang dengan Falsafah Material. Mereka juga dipengaruhi dengan ajaran Khawarij dan banyak lagi kesesatan-kesesatan rekaan mereka.

Mereka menggambarkan Allah SWT sebagai seorang manusia, dan mengatakannya berdua (menduakan Tuhan). Pegangan mereka pada wahyu dan kenabian juga terpesong. Mereka menolak kewujudan Syurga dan Neraka, lebih-lebih lagi Hari Kiamat.

Mereka juga pernah membangunkan Negara Komunis dan mengharamkan pemilikan individu. Mereka tidak membenarkan wanita menutup aurat di hadapan orang lain supaya menimbulkan kasih sayang sedangkan untuk menggalakkan penzinaan. Selain itu, mereka juga tidak berpuasa, solat dan perkara-perkara fardhu yang lain.

Mereka juga menolak kebangkitan selepas mati, dan mengatakan bahawa syurga itu merupakan nikmat di dunia dan nerakanya ialah bersolat, berpuasa, haji dan berjihad. Kepimpinan, agama dan akhlak, kesemuanya adalah sesat semata-mata.

Ajaran sesat mereka tersebar di kalangan pekerja-pekerja, petani, orang Badwi dan beberapa golongan-golongan lemah. Gerakan yang bermula dari Parsi ini telah beralih ke Kufah dan Basrah. Kemudian tersebar lagi ke Bahrain dan Yaman, terus ke kawasan selatan Tanah Arab, Oman dan Khurasan. Mereka juga pernah memasuki Mesir di kawasan Ain Syams.

3. Al Isma’iliyyah

Isma’iliyyah adalah sekelompok manusia yang menasabkan kepada Imam Ismail bin Jaafar as Sadiq, hampir serupa dengan al Qaramthiah. Golongan ini terbahagi kepada tujuh fahaman yang kesemuanya sesat dan terpesong dari ajaran Islam.

3.1 al Isma’iliyyah al Qaramthiah
3.2 al Isma’iliyyah al Fathimiyyah
3.3 al Isma’iliyyah al Hasyashun
3.4 al Isma’iliyyah asy Syam
3.5 al Isma’iliyyah al Bahirah
3.6 al Isma’iliyyah al Aghakhaniah
3.7 al Isma’iliyyah al Wafiqah

Pada permulaannya mereka adalah sebuah kelompok dari Syi’ah, kemudian terjerumus ke lembah mengumpamakan maqam ketuhanan, perpindahan roh, mengingkari sifat-sifat Allah dan tidak bercanggah dengan apa yang terkandung di dalam al Quran dan Hadith Nabi SAW.

Pecahan daripada golongan ini tersebar ke merata dunia, contohnya al Qaramthiah tersebar ke kepulauan Arab, Syam dan Iraq. Al Fathimiyyah pula telah mendirikan sebuah negara yang terletak di barat Afrika dan menguasai Mesir dan Syam. Negara mereka jatuh ke tangan Islam, oleh Salehuddin al Ayubi.

al Aghakhaniah pula berada di Nirubi, Daru as Salam, Zanjabar, Madagascar, Congo, Belgium, India, Pakistan, Syria dan pusatnya terletak di Bandar Karasyi di Pakistan. Al Bahirah berada di sekitar Yaman, India, dan as Sawahil yang terletak berhampiran kedua-dua negara ini.

Al Hasyashun pula tersebar ke Iran, dan menguasai Istana Alimut, yang terletak di selatan laut Qazwain dan pemerintahannya semakin meluas. Mereka banyak menguasai istana (kubu) dan salah seorang daripada mereka terlibat dalam Perang Salib, dan menghadapi holokus tentera Mongol. Selain daripada itu, tersebar di wilayah-wilayah kecil.

Selain daripada 3 golongan ajaran sesat ini, masih banyak lagi yang sedang melata di seluruh dunia, antara yang disebut ialah An Nashiriah, Ad Darwiz, Al Hasyashun, Al Babiah dan al Baha’iyyah, Al Qadianiah, Al Hizb al Jumhuri (Sudan), Al Ahbasy, Al Ansar, Al Khomeiniyyah, Amal dan banyak lagi yang masih belum dikaji.

Ajaran Sesat di Malaysia

Malaysia, sebuah negara yang dikatakan sebagai Negara Islam tidak terkecuali daripada anasir ini. Pengkhususan saya di dalam tajuk ini, di dalam mendatangkan sebuah fakta yang terjadi di Malaysia, bahawa ajaran sesat di Malaysia bukanlah berada di peringkat mentah, tetapi sudah semakin teruk dan membarah.

Laporan Bernama.com bertarikh 20 Januari 2007 menyatakan bahawa sebanyak 102 ajaran sesat telah dibenteras dan 22 lagi masih lagi dalam pantauan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sebelum ini, pada tahun 2006 sebanyak 56 ajaran sesat telah diwartakan secara rasmi. Iaitu :

1. Nasrul Haq
2. Budi Suci
3. Al-Watan
4. Budi Suci Sejati
5. Jawa Faradin
6. Silat Sunda Pukulan Ghaib
7. Tusuk Hikmat
8. Ilmu Kebatinan
9. Potong Maya
10. Naluri
11. Kaula
12. Haqqullah Syahadah
13. Rampai
14. Wali Suci
15. Kalimat Sakti
16. Silat Pukulan Jarak Jauh
17. Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18. Zikir Sha`ban Islam Haq
19. Asal Wujud Garis Laksmana
20. Al-Ma`zat
21. “Trancendentel Meditation”- Maharisi Mahish Yugi
22. Ilmu Kebatinan
23. Abdul Manan bin Harun- Tolak Hadis
24. Ilmu Mentauhidkan Allah oleh Nasrun S.T.Qahar
25. Kumpulan Ikhwan/al-Mas
26. Kuasa Ghaib ( Tahan Diri)
27. Mohd Nordin Putih
28. Nasrun S.T.Qahar
29. Roslan Katimun atau Ajaran Wali Sembilan
30. Tariqat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya
31. Wali Sembilan
32. Khatijah binti Ali @ Puan Tijah
33. Syed Mutalib bin Syed Mohd Nordin
34. Ajaran Mohd Seman Al-Banjari
35. Al-Arqam
36. Golongan Anti Hadis
37. Ajaran yang disampaikan oleh Juruzon bin Abdul Latif atau dikenali juga sebagai (Hj) Ahmad al-Walidie (Pak Su)
38. Syiah
39. Ajaran Hj. Ghazali Othman Hulu Kelang
40. Ajaran Hj.Kadar Ahmad
41. Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
42. Ajaran ilmu Hakikat @ Jahar Dumin Hulu Langat
43. Tarikat Mufaridiah
44. Ajaran Hassan Anak Rimau
45. Tarikat Aurad Ismailiah
46. Ajaran Martabat Tujuh
47. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
48. Ajaran Sulaiman ( Bahtera Nabi Noh)
49. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit
50. Ajaran Ahmadiah/ Qadiani
51. Ajaran Mohd Nor Seman
52. Ajaran Ayah Pin
53. Ajaran Bahai
54. Al-Ma`unah
55. Ajaran Azhar Wahab
56. Ajaran Hj.Banuar

Ciri-ciri Ajaran Sesat

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyenaraikan ciri-ciri ajaran sesat dan penjelasannya di dalam buku Penjelasan Terhadap 58 Ciri-ciri Ajaran Sesat Di Malaysia, yang ditulis oleh Haji Abdul Hamid @ Yusoff bin Yunus. Di dalamnya juga dimuatkan sebanyak 7 kriteria-kriteria ajaran sesat dan 58 ciri-ciri yang dijelaskan.

Garisan-garisan tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama, Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura dan dinyatakan di dalam buku, Kriteria-kriteria Ajaran Sesat BAHEIS JPM 1994. Antara kriteria-kriterianya ialah :

Pertama
Kepercayaan kepada rukun-rukun iman dan asas-asas akidah secara bertentangan dan tidak selaras dengan akidah Ahli Sunnah Wa al Jamaah, seperti mempercayai kitab lain yang mampu menyaingi dan memansuhkan al Quran, mempercayai terdapat kiblat selain dari Kaabah dan seumpamanya.

Kedua
Mempertikai kebenaran al Quran atau Hadith Nabi SAW yang telah diakui keshahihannya oleh ulama’ Hadith.

Ketiga
Mana-mana ketua atau ahlinya yang mendakwa dirinya adalah nabi terakhir, Nabi Isa AS, Imam Mahdi al Muntazar atau seumpamanya.

Keempat
Kepercayaan kepada penyatuan beberapa agama terbesar di dunia sebagai sebuah agama yang sepatutnya menjadi anutan kepada semua manusia.

Kelima
Pendewaan diri, pemimpin atau mana-mana individu dalam kumpulan tersebut, secara bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wa Al Jamaah. Contohnya mendakwa (secara pasti) bahawa diri atau gurunya sebagai ahli Syurga, boleh menebus dosa, memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain seperti boleh bekahwin lebih daripada empat dan sebagainya.

Keenam
Mengadakan bid’ah atau pendapat baru yang bertentangan dengan akidah dan syariah yang telah ditetapkan dengan dalil Qath’ie yang tidak boleh dipertikaikan. Contohnya menghapuskan kewajipan berjihad, Solat Jumaat, puasa di Bulan Ramadhan, haji di Mekah dan seumpamanya.

Ketujuh
Mentafsir, menghuraikan al Quran atau Hadith Nabi SAW mengikut sesuka hati.

Kriteria-kriteria ini jelas menampakkan kepada kita, bahawa Islam meletakkan sempadan-sempadan. Namun akhir-akhir ini, sempadan-sempada tersebut telah dilanggar dan ditokok tambah sehingga menyesatkan manusia. Golongan ini sering mendakwa bahawa merekalah yang membawa kepada kebenaran sedangkan mereka jauh tersimpang dari kebenaran.

Selain itu, buku tersebut juga telah menyenaraikan sebanyak 58 ciri-ciri Ajaran Sesat, iaitu :

1. Mempercayai bahawa semua agama adalah sama
2. Mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang
3. Memansuhkan syariat Islam dan membuat syariat baru
4. Guru membuat pengakuan memegang kunci syurga
5. Mengaku Allah SWT menjelma dalam diri guru atau seseorang
6. Mempercayai bahawa makhluk-makhluk seperti kayu, batu atau lain-lain, memiliki kuasa mutlak
7. Menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT
8. Menghalalkan nikah adik beradik
9. Meminta pertolongan terus daripada orang yang telah mati (bukan bertawassul)
10. Mengaku bahawa gurunya sebagai nabi atau malaikat
11. Mempercayai kebangkitan nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW
12. Mempercayai wahyu turun selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW
13. Mengaku dirinya sebagai Nabi Isa AS
14. Syeikh atau gurunya mendakwa mempunyai mukjizat
15. Mempercayai roh orang mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru
16. Guru mengaku Imam Mahdi dan muridnya yang terkanan ialah Nabi Isa AS
17. Perbuatan zina, judi, minum arak dan segala bentuk dosa boleh dilakukan oleh guru khalifah terkatnya dan menjamin akan mendapat keampunan Allah SWT ke atas dosa pengikutnya
18. Amalan Haji tidak semestinya di Mekah, bahkan di tempat selain daripadanya juga dibolehkan
19. Sembahyang tidak perlu berjemaah dan tidak perlu mengadap kiblat
20. Mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib dan mampu menilik nasib seseorang
21. Islam seseorang tidak sah jika tidak diislamkan oleh gurunya
22. Semua manusia melihat Allah SWT di dunia ini
23. Ajaran hendaklah dirahsiakan oleh pengikut, dan sekiranya mereka membocorkannya akan ditimpa bala
24. Guru atau murid membuat pengakuan menerima wahyu
25. Mendakwa bahawa dirinya sebagai wakil Nabi, dan mampu memberi syafaat kepada muridnya
26. Mengaku diri atau gurunya ma’sum (tiada dosa)
27. Mempercayai roh orang mati menjelma ke dalam jasad orang hidup
28. Boleh memanggil roh orang mati (tahdhir al arwah) dalam amalan menurun oleh bomoh atau tukang sihir
29. Boleh meramal kedatangan Imam Mahdi dan Hari Kiamat
30. Mempercayai bahawa orang tertentu ghaib (tidak mati) dan akan lahir semula sebagai Imam Mahdi
31. Pengikut tidak boleh berkahwin dengan orang yang bukan pengikut ajaran tersebut
32. Murid-murid tidak dibenarkan mengahwini janda gurunya
33. Huruf-huruf dalam perkataan tertentu mempunyai lambangnya tersendiri
34. Al Quran mempunyai makna batin, yang berbeza (menyalahi) dengan maknanya yang zahir
35. Islam itu ada zahir dan batinnya. Batinnya ialah isi, setelah sudah memperolehi isinya, kulit tidak lagi berguna
36. Mendakwa dengan melalui tarekatnya, Allah SWT akan menurunkan Nur (cahaya) ke dalam badan Nabi Adam AS, turun temurun ke dalam badan semua nabi dan seterusnya ke dalam badan-badan imam (syiah) atau guru-guru, berterusan sehingga tidak berakhir
37. Mendakwa dirinya sebagai penjelmaan sahabat-sahabat Nabi SAW
38. Nikah menurut syariat hanyalah adat, oleh itu ia perlu bernikah sekali lagi yang dinamakan sebagai nikah batin
39. Ibadah Solat sudah memadai dengan niat semata-mata (lintasan hati)
40. Penyerahan rohani/jasmani kepada guru melalui nikah secara batin
41. Setiap murid dikehendaki menyerahkan diri, isteri, anak dan harta benda kepada gurunya
42. Amalan seperti zikir mampu menangguhkan tarikh Hari Kiamat
43. Sesiapa yang mengikut tarekatnya sahaja dibolehkan masuk ke Syurga
44. Mempercayai bahawa bacaan seseorang guru itu kepada sesuatu benda seperti batu, gunung dan lain-lain berkuasa memberi kesan baik atau buruk
45. Mempercayai bahawa dirinya selaku guru dan anak muridnya sahaja yang layak mendapat pertolongan Allah SWT (ma’unah)
46. Gurunya mampu memberikan kuasa yang luar biasa kepada pengikut-pengikunya
47. Mengaku dan mempercayai seseorang tu boleh berhubung terus dengan Allah SWT melalui Nur Muhammad SAW yang berada di dalam dirinya
48. Guru mendakwa bahawa tugas-tugas para Rasul diamanahkan kepadanya
49. Bersemadi di tempat-tempat gelap memusatkan kepada satu-satu hajat yang bukan dari ajaran Islam
50. Sebelum pergi menunaikan haji ke Mekah, dikehendaki bersuluk terlebih dahulu di Panca Budi di Medan atau memadai di Medan sahaja
51. Mendakwa sebagai wali sedangkan bergelumang dengan maksiat
52. Murid-muridnya tidak dibenarkan mengahwini mana-mana wanita yang diminati oleh gurunya
53. Meninggalkan Solat Jumaat kerana bersuluk
54. Mengagung-agungkan Yahudi dan keturunannya sebagai kerabat dan perlu dicontohi
55. Murid-murid dilarang berbincang sesama mereka jika terdapat kemusykilan, tetapi hendaklah dirujuk kepada guru
56. Mendakwa bahawa ajaran tarekatnya diambil terus daripada Rasulullah SAW dalam keadaan berjaga yang bertentangan dengan syara’
57. Mengikut secara membuta tuli ajaran gurunya, walaupun gurunya melakukan kesalahan dan dosa
58. Pengikut-pengikut lelaki atau perempuan dikehendaki melalui ujian yang dijalankan oleh gurunya di dalam sebuah bilik khas dan bersumpah tidak akan membocorkan apa yang terjadi di dalam bilik tersebut

Inilah dunia hari ini yang semakin menuju ke gerbang kiamat, segala yang dinyatakan oleh Nabi SAW semakin hari semakin terpapar di skrin mata manusia. Masihkah kita leka dengan kehidupan yang akan habis ini? Bagaimanakah keadaan sekeliling kita yang sentiasa menumbuhkan pemikiran-pemikiran sesat? Inilah tanda-tanda kiamat.

Disediakan oleh :
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Tahun 4, Kuliah Usuluddin,
Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar, Kaherah

Tuesday, May 26, 2009

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU

Sesungguhnya menuntut ilmu itu banyak suruhan dan kelebihannya, namun terdapat dalil-dalil yang menunjukkan kelebihan menuntut ilmu di dalam Al-Quran dan juga sunnah Nabi SAW yang bermaksud : dan firman Allah Taala ertinya : “Sesungguhnya sesuatu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh seorang lelaki terlebih baik baginya daripada dunia dan apa yang di dalamnya, "Maka bertanyalah ahli zikri (orang yang alim) jikalau kamu tidak mengetahui”.

Di samping itu terdapat juga fadhilat-fadhilat menuntut ilmu yang terlebih baik daripada beribadat sunat yang disabdakan oleh Nabi SAW ertinya : “Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu tentang sesuatu bab, ia lebih baik daripada kamu bersolat seratus rakaat,”

Dan terdapat juga daripada hadis Abi Zarr RA katanya ertinya: “Setiap permulaan seseorang yang mengajar ilmunya itu lebih mulia daripada bersolat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan mengiringi seribu jenazah

Kemudian Rasulullah SAW ditanya : Adakah ia (menuntut ilmu) lebih mulia daripada membaca Al-Quran dijawabnya : “Tidak manfaat membaca Al-Quran itu tanpa ilmu.”

Sepertimana kata Imam Syafie RA bahawa menuntut ilmu itu terlebih baik daripada sembahyang sunat.

Dan Abu Darda’ juga telah berkata: “Demi Tuhanku, bahawasanya aku lebih suka belajar sesuatu ilmu itu berbanding daripada beribadat setiap malam (qiamullail).

Di samping itu, banyak hadis yang disabdakan oleh Nabi SAW tentang kelebihan orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu, antaranya, “Barangsiapa yang mati dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka perbezaan darjat di antaranya dan nabi-nabi di dalam Syurga adalah satu darjat.”

Saidina Umar RA telah berkata Sesungguhnya mati seribu orang yang kuat beribadat setiap malam kepada Allah Taala dan berpuasa setiap hari lebih ringan daripada mati seorang yang alim atau mengetahui perkara-perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah (kerana kehilangannya sangat berharga).

Namun begitu, Nabi SAW juga telah menggariskan kepada beberapa peringkat kelebihan ilmu dengan sabda Baginda, “Sesungguhnya ilmu itu adalah umpama gedung dan anak kuncinya adalah pertanyaan, maka bertanyalah. Ini kerana pahala itu diberi kepada empat jenis orang yang berkait dengan ilmu. Pertama, kepada orang yang suka bertanya tentang ilmu. Kedua, kepada orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan mengajarnya. Ketiga kepada orang yang mendengar seseorang yang mengajar ilmu. Keempat kepada orang yang suka dan kasihkan majlis ilmu.

Dan Atta’ telah berkata : Sesungguhnya perhimpunan orang yang duduk di dalam majlis ilmu itu iaitu menghapuskan tujuh puluh perhimpunan majlis lagha (sia-sia).

Meneliti kepada kepentingan ilmu seperti yang tersurat, maka seharusnya bagi kita sebagai ummah terbaik, mengambil kesempatan berharga di dalam kehidupan ini merancakkan lagi pemburuan ilmu. Mudah-mudahan masa yang berbaki dimanfaatkan seoptimum mungkin demi masa depan dakwah yang semakin mencabar.


Oleh :
Biro Pelajaran dan Ilmiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009

Friday, May 22, 2009

SEPATUTNYA KITA GEMBIRA APABILA DIUJI

Nabi SAW bersabda :
.

“Apabila Allah SWT menyayangi sesuatu kaum itu, Allah akan menguji mereka” (Jami' as Saghir : 354)

Allah SWT berfirman
.
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad : 31)

Pernahkah kita menyedari bahawa kita sentiasa diuji oleh Allah SWT. Tanpa mengira waktu, kita kerap diuji, hatta kita membuat kebaikan, semakin banyak diuji oleh Allah SWT. Semakin banyak kebaikan dibuat, semakin banyaklah ujian anda!

Tanda Kasih Sayang Allah SWT

Mengapa perlu bersedih ketika diuji? Bukankah ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita? Lihatlah kepada seorang anak murid yang taat, kerap kali ditengking dan dimarahi oleh gurunya, sebagai tanda menguji anak muridnya. Begitu juga si ibu, turut melakukan perkara yang sama untuk mendidik. Apakah dia tidak sayangkan anaknya?

Satu ketika, si ibu melihat anaknya melakukan satu perbuatan yang dipandang jelek, lalu dimarahinya. Inilah kasih sayang ibu untuk mendidik anaknya supaya tidak melakukan perbuatan yang sama berulang kali. Apakah kita hanya tersenyum apabila anak kita melakukan suatu perbuatan jelek di hadapan anda?

Begitu juga Allah SWT, apabila melihat anda semakin hari, semakin sibuk dengan urusan dunia, Allah SWT menguji mereka supaya mereka tidak alpa dengan dunianya. Bukankah apabila kita ditimpa kesusahan (diuji), barulah kita menyedari siapakah kita di sisi Allah SWT.

Kenapakah apabila semakin banyak membuat kebaikan, kita semakin diuji?

Sebelum mendalami lebih jauh, persoalan yang timbul ialah, benarkah kita benar-benar membuat kebaikan atau di“kepil”kan dengan bangga diri, sombong dan sebagainya?

Apabila kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah SWT, sudah pasti selayaknya kita mendapat ujian, bahkan kutukan!

Kenapakah kita mempersoalkan apabila diuji ketika melakukan kebaikan? Bukankah ini menunjukkan terdapat segelintir rasa bangga pada hati? Apabila kita tidak mempersoalkan tentang ujian Allah SWT, itulah yang sebenarnya.

Allah SWT sengaja menguji kita sehingga kita sendiri tidak mempersoalkan sebarang ujian yang ditimpakan ke atas kita. Bahkan semakin suka apabila diuji kerana menyedari bahawa inilah tanda kasih sayang Allah kepadanya.

Allah SWT berfirman
.
sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); (Surah Muhammad : 31)

Semakin hebat ujian, semakin tinggi kasih sayangNya

Semakin diuji, adakah kita merasa semakin tertekan dengan ujian tersebut, atau suka? Adakah apabila kita diuji dengan kematian orang yang tersayang, kita merasa suka?

Inilah apa yang diertikan sebagai redha. Inilah dia tanda tabahnya kita menghadapi ujiannya. Adakalanya kita merasa kehilangan tersebut satu perkara biasa, setiap benda yang hidup pasti akan mati.

Apabila seorang suami sangat menyayangi isterinya, kemudian dia dimatikan. Apakah perasaan si suaminya kalau bukan sedih? Tetapi apabila difikirkan, bukankah Allah SWT tidak mahu kita lalai disebabkan isteri kita? Begitu juga si isteri yang kematian suami.

Bagaimanakah pula sekiranya isteri atau suami yang mengingatkan kita kepada Allah? Tidakkah kita ketahui bahawa setiap yang hidup pasti mati, dan setiap pertemuan pasti ada perpisahan? Tidakkah kita sedar tentang hakikat ini?

Sedarlah, kita diuji hanya sedikit jika hendak dibandingkan dengan mereka yang lebih teruk diuji. Setahap manakah tingginya kesabaran kita menghadapi ujian?

Allah SWT berfirman
.
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya (Surah al Mulk : 2)
.
(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Surah al Baqarah : 156)

Inilah kayu ukurnya. Kita diuji oleh Allah supaya kita menyedari tahap kesabaran kita supaya ia mampu ditingkatkan. Sekiranya kita tidak diuji, kita merasakan bahawa amalan kita sudah cukup bagus, sedangkan apabila diuji barulah kita menyedari rendahnya kita di sisi Allah.

Tidak sedar diuji?

Siapakah yang tidak sedar bahawa dirinya sedang diuji? Inilah satu perkara yang perlu dihindarkan. Setiap hari kita diuji oleh Allah SWT, setiap detik dan ketika. Namun ramai yang tidak menyedari dan memikirkan tentang perkara tersebut.

Seseorang yang tersepak batu mengeji batu tersebut, sedangkan dia tidak pula memikirkan bahawa batu itu telah menjalankan perintah Allah. Bukankah batu itu cuba memberitahu bahawa kamu hendaklah menjalankan perintah Allah?

Kadangkala kita menganggap ujian ini hanyalah menyusahkan sahaja, inilah kerugian yang nyata. Setiap ujian dari Allah SWT perlulah difikir dan disedari, kerana ada hikmah disebaliknya.

Seorang raja yang diuji dengan seekor lalat yang kerap menghinggapi hidungnya telah bertanya kepada penasihatnya. “Apakah gunanya Allah menciptakan lalat?” Penasihat tersebut menjawab “untuk memberitahu tuanku supaya tidak sombong”. Bukankah lalat yang hinggap tanpa mengira tempat busuk atau najis.

Sangat rugilah seseorang itu apabila gagal dengan ujian sekecil itu! Sangat rugilah bagi mereka yang tidak sedar diuji.

Oleh :
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil

Tahun 4, Kuliah Usuluddin,
Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar,

Friday, May 8, 2009

KUNCI KEJAYAAN INDIVIDU MUSLIM

Sebagai manusia dan makhluk ciptaan Allah semuanya menginginkan kejayaan. Tapi, adakah kita berusaha untuk mendapatkan kejayaan tersebut dan mungkin kejayaan itu sudah hampir dengan kita tapi adakah kita sudah berusaha supaya ia sentiasa mendampingi kita. Dan mungkin juga kejayaan itu sudah ada bersama dengan diri kita tapi kita tidak berusaha membuka kunci kejayaan tersebut .

Jadi, untuk membuka kejayaan itu bukannya mudah, banyak kunci diperlukan. Antaranya adalah :

- Kunci kemuliaan adalah taat kepada Allah dan rasulNya.

- Kunci rezeki adalah berusaha disertai dengan istighfar dan ketaqwaan.

- Kunci syurga adalah mengESAkan Allah.

- Kunci iman adalah merenungkan ayat-ayat Allah dan tanda-tanda kebesaran yang ada pada makhluknya.

- Kunci kebaikan adalah kejujuran.

- Kunci kehidupan hati adalah merenungkan ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa di malam di malam hari dan meniggalkan perbuatan dosa.

- Kunci ilmu pengetahuan adalah tidak malu bertanya dan mendengar dengan baik.

- Kunci kemenangan dan kejayaan adalah sabar.

- kunci kebahagiaan adalah taqwa.

- Kunci bertambahnya nikmat adalah bersyukur.

- Kunci mencintai akhirat adalah zuhud terhadap duniawi.

- Kunci agar permintaan diqabulkan oleh Allah adalah berdoa.

Jadi, adalah kita hanya mengetahui sahaja kunci tanpa berusaha untuk membukanya. Janganlah kita menjadi kucing yang bodoh yang tidak menghiraukan ikan dihadapannya sedangkan ikan itu sudah terhidang dihadapannya. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha membuka kunci kejayaan tersebut kerana ia untuk kebahagiaan kita bersama .

Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

PESANAN IMAM AL-GHAZALI

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya...

1 - "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran 185 )

2 - Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

3 - Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu". Justeru nafsu yang menguasai diri, menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan kebenaran. Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah Al A'araaf 179)

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .

4 - Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?"
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah"

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah Al Ahzaab 72)

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak boleh memegang amanahnya.

5 - Pertanyaan yang kelima adalah, " Apa yang paling ringan di dunia ini?". Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah “meninggalkan solat”. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

6 - Lantas pertanyaan ke enam adalah, " Apakah yang paling tajam di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri

Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

KASIH SAYANG PEMANGKIN KEKUATAN

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”. ( Al-Hujrat : 10 )

Ukhwah merupakan anugerah Allah yang sangat manis kepada hambaNYA yang ikhlas menjadi penolong kepada agamaNYA, juga sentiasa membersihkan jiwa kerana Allah. Antara golongan yang mendapat tempat istimewa di akhirat kelak ialah golongan yang menjalinkan hubungan persahabatan berlandaskan cinta kepada Allah tanpa ada sifat pentingkan diri sendiri dan nafsu.

Setiap persahabatan yang utuh sehingga lebih mengutamakan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri, dapat memelihara ikatan persahabatan sebaiknya dan dapat memperbaiki kekurangan sahabat. Tapi malangnya, semua itu kini kian pudar malah sebaliknya yang berlaku.

Menurut Assyahid Imam :

“Martabat ukhwah yang paling rendah ialah bersangka baik terhadap saudara seIslam dan yang paling tinggi ialah memgutamakan kepentingan orang lain melebihi dari diri sendiri. Peliharalah sikap berlapang dada terhadap saudara-saudaramu dan bermujahadah
lah bersama sahabat-sahabatmu untuk sampai ke tahap ithar, cuai atau meniggalkan rukun ini samalah hukumnya dengan meninggalkan jihad yang memberi kesan buruk”.


Sejarah Islam telah membuktikan kepada kita persahabatan yang berlandaskan
cinta kepada Allah telah berlaku semasa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Persahabatan yang unggul terjalin utuh apabila nabi SAW telah menyatukan ikatan persahabatan antara kaum Ansar yang terdiri daripada orang-orang Islam Madinah dan kaum Muhajirin Mekah yang berhijrah bersama Rasulullah. Kita dapat lihat betapa ukhwah islamiah yang yang ditunjukkan oleh para sahabat baginda, yang kita tidak mampu untuk realisasikan tanpa ada sikap ithar dalam jiwa dan hati nurani masing-masing.

Begitulah nilai persahabatn yang ditunjukkan oleh para sahabat yang dipimpin oleh Rasulullah SAW.

Kekuatan iman yang kukuh dikalangan sahabat berteraskan sifat kasih sayang, lemah lembut, bertolak ansur dan berkerjasama.Ukhwah juga satu perkara yang melazimi iman kerana tiada ukhwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa ukhwah. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang beriman bersaudara" ( al-Hujurat : 10 )

Begitu juga tiada persahabatan tanpa taqwa dan tiada taqwa tanpa persahabatan. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa" ( al-Zukhruf : 67 )

Kesedaran untuk memuhasabah diri perlu kepada kita untuk mempertingkatkan ukhwah dikalangan masyarakat Islam terutama azhari dan azhariah yang semesti lebih mengetahui makna dan kepentingan ukhwah itu sendiri.. Kita perlu menitikberatkan nilai ukhwah didalam usaha untuk menepati sasaran utama kita iaitu meninggikan kalimah Allah di mukabumi ini.

Ini adalah kerana, fitrah manusia dijadikan untuk hidup berjemaah. Tanpa penyatuan atau kumpulan menjadi satu kemustahilan untuk merealisasikan segala yang diimpikan. Kerana kekuatan seorang tidak sama dengan kekuatan seribu orang.


Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009

KEPIMPINAN ISLAM

Selama ini begitu banyak kekeliruan pemahaman mengenai erti kepimpinan. Pada umumnya orang melihat pemimpin adalah satu kedudukan atau posisi semata-mata. Akibatnya, ramai orang mengejar untuk menjadi seorang pemimpin dengan menghalalkan pelbagai cara demi mencapai tujuan tersebut. Akibat dari perkara tersebut maka lahirlah pemimpin yang tidak dicintai, tidak disegani, tidak ditaati malah dibenci. Pemimpin seperti ini akan mempergunakan kekuasaannya untuk mengarah, memperalat atau menguasai orang lain, supaya orang lain mengikutinya.

Umumnya pemimpin seperti ini suka menekan. Tetapi, alam diciptakan dengan hukum keseimbangan. Setiap sesuatu diciptakan berpasang-pasangan sesuai dengan neraca keadilan. Begitu jugalah dengan pemimpin dan pengikut. Mungkin kita masih mengingati makanisme ‘per’. Apabila ‘per’ ditekan, maka ‘per’itu akan mengeluarkan daya lenting atau daya dorong sebesar tekanan yang dikeluarkan untuk mencapai titik keseimbangannya kembali.

Begitu juga dengan jiwa manusia, apabila ditekan maka jiwa itu akan mengeluarkan energi atau daya untuk mencapai titik keseimbangannya kembali. Energi itulah yang akan timbul dalam bentuk perjuangan, perlawanan atau revolusi. Tentu kita masih ingat sejarah Hitler, Mussolini dan Kaisar Hirohito yang telah cuba menekan dan menjajah dunia. Namun, akhirnya mereka hancur akibat daya perlawanan yang sangat dasyat yang harus dihadapinya.

Jadi, pastilah setiap individu muslim ingin berada dibawah kepimpinan yang tidak melanggar ajaran Al-quran dan sunnah nabi Muhammad s.a.w. Tapi yang menyedihkan masih ramai lagi manusia yang tidak menyukai apabila dipimpin. Hakikatnya, setiap umat yang wujud di muka bumi ini, pasti Allah s.w.t telah mengutuskan bagi umat itu seseorang untuk mengkoreksi akidahnya da meluruskan penyimpangan umat tersebut. Ini telah dibuktikan dengan firmannya:

Maksudnya :-

Dan sesungguhnya kami telah mengutus seorang rasul pada setiap umat (untuk menyerukan) Sembahlah Allah SWT (semata-mata)dan jauhilah Thagut itu.

Jadi, makna sebenar kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khalifah di muka bumi, demi mewujudkan kebaikan dan proses islah. Nabi s.a.w memerintahkan kepemimpinan walaupun dalam kumpulan yang berjumlah sedikit atau sasarannya sederhana.

Baginda bersabda seperjuangan.:

“Jika tiga orang keluar dalam suatu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang antaranya sebagai pemimpin.”

Jadi, apatah lagi jika kita berada di dalam kelompok yang besar dan sasarannya tinggi. Pemimpin dan pengikut mempunyai jalur pengaruh antara satu sama lain. Definasi pemimpin yang sebenar adalah seseorang individu apabila ditaklifkan, dia mempunyai semangat sebagai khalifah. Manakala, pengikut adalah semua orang yang berada dibawah kepimpinan dan membantu supaya kepimpinan sentiasa berada dalam landasan yang betul.

Oleh itu, adakah kita sebagai mata rantai perjuangan Rasululullah s.a.w hanya menjadi pemerhati tanpa memberi sumbangan kepada kepimpinan yang mewarisi risalah nabi tercinta. Malah, kita menjadi penyumbang kepada kehancuran. Fikir-fikirkanlah wahai sahabat..


Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009

KATAKAN TAK NAK PADA HUTANG!!!

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.

Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli sesuatu barangan. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini.  Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" (Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" (Riwayat Al-Bukhari, 2/83)

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat Islam agar berdoa dilepaskan dari hutang iaitu :

Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah?; Baginda menjawab : "Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" (Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu yang boleh.

Beberapa tindakan perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Janganlah hanya ingin nampak bergaya kita sanggup berhutang. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Orang yg berhutang, apabila diberikan amanah dia khianat, apabila dia berjanji dia mungkir, apabila dia bercakap dia berbohong".

Memang betul. Majoriti orang yg berhutang tak kiralah samada kawan sendiri, saudara sendiri atau sesiapapun tiga ciri-ciri yang Nabi sebutkan ini akan
mula wujud wujud dalam diri penghutang tersebut.

Nasihat saya kepada mereka-mereka yang berhutang, bayarlah hutang anda itu. Jika sudah ada duit, dahulukanlah duit anda itu untuk langsaikan hutang anda. Jangan fikir nak enjoy saja. Ingat sahabat-sahabat, jika di dunia kita terlepas di akhirat kelak pasti menanti kita untuk dihisab. 


Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
Sesi 2008/2009

Thursday, May 7, 2009

PELBAGAI BAHASA DALAM BANGSA

Bahasa adalah kunci kepada pelbagai ilmu, samada ilmu dunia ataupun ilmu akhirat. Tanpa bahasa,kita tidak mampu mengungkapkan kata-kata yang bersulam dengan makna dan juga tidak mampu berinteraksi atau berkomunikasi. Tanpa perinteraksian manusia, maka hidup ini tiada maknanya. Begitu mendalam maknanya yang telah Allah semai dalam sanubari kita, agar kita menjadi orang yang bertaqwa dalam pentarbiyahan jiwa, guna sebagai wasilah dakwah islamiah.
.
Oleh yang demikian, ramai dikalangan intelektual telah terpanggil bagi membincangkan soal ini.Antara topik yang diperbahaskan dalam hal ini adalah seperti pelbagai perbahasan dalam ilmu-ilmu lain. Contohnya tarif, pembahagian, pelopor, dan sebagainya. Mereka telah mencuba untuk mendefinisikan bahasa dari beberapa segi. Bahasa didefinisikan sebagai:
.
- Satu sistem untuk mewakili benda, tindakan, gagasan dan keadaan.
.
- Satu peralatan yang digunakan untuk menyampaikan konsep dakwah atau dakyah mereka ke dalam fikiran orang lain.
.
- Satu kesatuan sistem penyampai makna samada positif atau negatif.
satu kode yang yang digunakan oleh pakar linguistik untuk membezakan antara bentuk dan makna.
.
- Satu ucapan yang menepati tatabahasa yang telah ditetapkan (contoh :- Perkataan, kalimat, dan lain lain.)
.
- Satu sistem tuturan yang akan dapat difahami oleh masyarakat linguistik.
Ilmu yang mengkaji bahasa ini disebut sebagai linguistic. Ia bergantung kepada pendekatan seseorang pengkaji.Maka bagi sesetengah pendapat, ilmu linguistik seringkali digolongkan pada ilmu Kognitif, Psikologi dan Antropologi.
.
Wujud pelbagai istilah dalam disiplin kajian Ilmu Bahasa ini. Antara istilah-I stilah yang sering digunakan oleh mereka ialah Semantik, Sintaksis, Fonetik, Etimologi, Psikolinguistik, Neurolinguistik, dan Conlang. Secara tak langsung, maksud bagi setiap pengenalan istilah-istilah diatas adalah seperti berikut:
.
~Semantik : Ilmu yang mempelajari simbol-simbol dan ertinya. Terutama simbol dalam bahasa.
.
~Sintaksis : Ilmu yang mengkaji beza tatabahasa daripada pelbagai bahasa.
.
~Fonetik : Ilmu kajian tentang makhraj huruf atau sumber suara bunyi yang terhasil dan terungkap. -Dilalah lafziah- ilmu ini juga mengkaji tentang simbol gerakan yang terhasil dari tubuh badan manusia. (bahasa isyarat golongan kurang upaya) -Dilalah ghairul lafziah-
.
~Etimologi : Ilmu yang mempelajari asal-usul kata dalam pelbagai bahasa. Ia juga mampu menyenaraikan senarai bahasa yang terlalu tua.
.
~Psikolinguistik : Kajian bagaimana perkembangan bahasa dengan minda kita.
.
~Neurolinguistik :Salah satu ilmu linguistik yang mengkaji perkembangan otak dengan bahasa.
.
~Conlang : Singkatan "constructed language" bermaksud bahasa terencana. merupakan sebuah bahasa yang kosa kata dan tatabahasanya diciptakan oleh seseorang atau sebuah kelompok kecil. Contohnya adalah seperti Esperanto.
.
Oleh :
Biro Pelajaran dan Ilmiah,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

DIDIK ANAK HARGAI NIKMAT KEHIDUPAN

SEORANG kanak-kanak Palestin pergi ke sekolah sambil menangis kerana terlambat masuk ke kelas akibat angkara tentera Yahudi yang menahannya di tengah jalan. Sepanjang hari dia menangis pada hal gurunya tidak memarahinya. Selepas puas dipujuk, dia menyatakan rasa kecewanya: “Saya tidak mahu kerana saya datang lambat, rakyat Palestin akan terus merana dan dibunuh Yahudi.
.
Kanak-kanak itu teringat pesan cikgunya kelmarin: “Jika kamu sengaja lambat hadir ke sekolah bermakna kamu melambatkan usaha kemerdekaan negara kita.”
.
Limpahan rasa syukur atas segala nikmat Allah Taala di bumi Tanah air kita. Begitu jauh perbezaan di antara anak di Palestin dibandingkan dengan anak kita. Bukan bermaksud untuk merendahkan usaha ibu bapa di Malaysia yang sememangnya patut dibanggakan dan juga bukan bermotifkan fahaman yang terlalu idealis, jika kita cuba menyelami dasar hati dan bertafakur. Adakah usaha kita sebagai ibu bapa yang soleh sudah cukup sempurna?
.
Lihatlah wajah tak berdosa anak Palestin, dari manakah datangnya sumber kekuatan mereka untuk menghadapi hari-hari yang menyeksakan. Dari manakah mereka memperoleh segenap kekuatan tidak makan dan minum selama beberapa hari kerana sekatan Yahudi? Setebal manakah kesabaran anak-anak itu menggendong mayat adik bayi yang ditembak tepat ke arah jantungnya. Padahal baru saja adik bermain, ketawa dan bermanja di pangkuan abangnya itu. Anak kita juga memiliki hati dan perasaan seperti mereka. Namun, hati jenis apakah yang mampu menguasai zahir dan batin sambil menelan segala kepedihan, melihat ayah dan ibu dibantai di depan mata.
.
Lalu kita memandang wajah anak kita di dalam bilik tidur yang selesa, tiada nyamuk boleh menggigit, bilik yang aman daripada sebarang bentuk kejahatan. Anak kita yang dijaga dengan baik dan kalau boleh jangan disuruh merasai kesusahan, mereka dewasa bersama segala kemudahan dan kesenangan. Jika bukan dengan didikan ibu dan bapa yang beriman kepada Allah Taala, hampir-hampir mereka menjadi manusia yang tak mengerti bagaimana menghargai hidup ini.
.
Saidina Umar bin al-Khattab RA pernah menasihati seorang bapa yang datang mengadu perihal anaknya yang derhaka. Umar berkata: “Sesungguhnya kamu lebih dulu menderhakai anakmu.” Kerana bapa tidak memberi nama yang baik dan tidak pula mendidik anaknya dengan ajaran agama.
.
Sebagai ibu bapa zaman moden, di samping membekalkan anak dengan pelbagai ilmu dan teknologi serba hebat, kita pula dituntut untuk kembali kepada ajaran agama yang kukuh dan relevan sepanjang zaman. Jika boleh, kelebihan ilmu dan kebendaan yang mereka dapat, disempurnakan lagi dengan kekuatan mental dan rohani seperti anak Palestin.
.
Antara sumber kekuatan yang semestinya dibekalkan kepada seorang anak ialah :
.
Kekuatan akidah
.
Kewujudan Allah Taala sepatutnya terang dan nyata dalam kehidupan anak. Wujud rasa dilihat, didengar dan diperhati oleh Allah Taala. Ia harus mula ditanamkan dalam diri anak sejak kecil. Mengenal Allah sebagai Penguasa yang memiliki nama yang indah dan sifat yang hebat akan mempengaruhi jiwa sebagai hamba, bukan sebagai tuan dan bukan pula penderhaka.
.
Satu kisah diceritakan dalam sebuah masjid yang sunyi. Datang seorang lelaki yang mahu bermunajat kepada Allah SWT. Dia melihat seorang kanak-kanak berumur kira-kira 10 tahun duduk di sebelah tiang masjid sedang berdoa sambil mengalir air matanya.
.
Lelaki itu menghampiri dan bertanya:
.
“Wahai budak kecil, siapakah kamu?”
.
Dia menjawab: “Saya yatim piatu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Mahukah kamu menjadi anakku?”

Dia menjawab: “Jika aku lapar mahukah kamu memberiku makan? Dan jika aku tidak memiliki baju bolehkah pula kamu membelikannya untukku?

Lelaki itu tersenyum menandakan setuju. Tetapi ada lagi satu permintaan budak kecil itu:

“Jika aku sakit dapatkah kamu sembuhkan diriku?”

Lelaki itu berkata: “Tidak wahai anakku, aku tidak sanggup.”

Budak kecil itu bertanya lagi: “Apakah kamu dapat menghidupkanku apabila aku mati?

Tentu saja lelaki itu menggelengkan kepalanya.

Anak itu menyambung kata-katanya: “Kalau demikian, biarlah aku bergantung kepada Zat Yang Menciptakan aku. Dialah Allah yang memberiku petunjuk, memberi makan dan minumku. Jika aku sakit Dialah yang menyembuhkanku, Yang Mengampuni segala kesalahanku pada hari penghisaban nanti.”

Kekuatan akhlak
.
Manusia dilahirkan dengan potensi hebat yang menyerlahkan keperibadiannya. Allah Taala membekalkan manusia dengan akal dan hati. Kedua-duanya adalah tenaga dalaman diperlukan untuk memproses perbuatan, tingkah laku dan gerak geri manusia.

Akhlak kita memang berkait rapat dengan hati dan akal. Jika sihat akal dan hati, maka sihat pula perangainya. Seorang anak manusia memproses segala rangsangan yang dilihat, didengar dan dirasa dari sekelilingnya. Dia mempunyai kemampuan untuk meniru apa-apa yang disukai. Justeru menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa menyediakan persekitaran yang bebas daripada unsur negatif.

Ibu bapa juga bertanggungjawab memberi asuhan dan tuntutan akhlak mahmudah kepada anak. Hal ini bukan perkara yang mudah kerana tak kurang ibu bapa yang berpura-pura baik di hadapan anak hanya sekadar memberi teladan.

Ada juga yang tidak peduli dengan nilai yang dibawa masuk ke rumah sehingga anak mencontohi perkara negatif itu. Nasihat memang ada manfaatnya tetapi yang paling berkesan dalam mengajar anak berakhlak adalah dengan menunjukkan bagaimana cara melakukannya, beri teladan yang baik dan bersama-sama melakukannya.
Tidak timbul persoalan munafik dan percanggahan dalam mendidik anak kerana ia akan menyebabkan hilang kepercayaan anak kepada ibu bapa.

Hadis al-Bukhari dan Muslim menyebutkan, antara tanda-tanda hari kiamat adalah ramai anak menderhaka? Apakah ia terjadi kerana ramai pula ibu bapa yang tidak mengerti dan tidak pandai mendidik anak? Hakikatnya, tiada manusia yang sempurna, tetapi perlu berusaha untuk menjadi sempurna.
.
Oleh :
Nornatrah binti Kulop Abdul Rashid
Tahun 4, Kuliah Syariah,
Jabatan Syariah Islamiah,
Universiti al Azhar,
Kaherah,
Unit Bait Muslim
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir

Wednesday, May 6, 2009

PERSEDIAAN SEBAGAI DA'IE

Mewujudkan kepimpinan yang diredhoi oleh Allah SWT dituntut oleh syara', sebagaimana yang telah terakam dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
.
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung" (Surah Al-Imran:104)

Berdasarkan firman Allah tersebut, telah jelas kepada kita bahawa tugas menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar adalah satu tugas yang pasti disoal oleh Allah di akhirat nanti. Namun persediaan adalah diantara perkara yang terpenting untuk menegakkan kembali Islam di dalam kehidupan ummah. Rasulullah SAW terlebih dahulu disediakan oleh Allah SWT sebelum baginda SAW ditugaskan dengan kerja-kerja dakwah yang berat.

Firman Allah di dalam surah al- Anfal, ayat 60 yang bermaksud:
.
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui sedang Allah mengetahuinya."

Rasulullah SAW telah diutuskan untuk menyeru manusia kembali mengabdikan diri mereka sepenuhnya kepada Allah. Dengan bimbingan wahyu, Rasulullah SAW telah berjuang selama 23 tahun untuk membentuk sebuah ummah dan kemudiannya membina sebuah daulah yang matlamat utamanya ialah untuk mendapat mardhotillah. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah meletakkan iman kepada Allah sebagai teras utama dalam pembentukan ummah muslimin dan sirah Rasullulah SAW ini perlulah diambil iktibar dan diaplikasikan dalam kehidupan umat islam masa kini, bak kata pepatah "di mana bumi dipijak di situ langit di junjung".

Majoriti mahasiswa yang bermastautin di bumi mesir ini berada di bawah naungan satu organisasi induk iaitu Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan KPIPM khususnya, semestinya fungsi persatuan ini dibentuk adalah untuk melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada ahli-ahlinya dan yang lebih utama memandu ahli ke arah kebenaran dan menghapus kebatilan dan kemungkaran . Allah SWT memerintahkan agar kaum muslimin mentaati ‘Ulil Amri’ iaitu pemimpin yang ingin membentuk ahlinya ke arah kejayaan dunia dan akhirat dan selagi mana ianya tidak menyuruh kepada kemaksiatan.

Keutuhan persatuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah sekiranya tidak mendapat sokongan,maka akan jadilah seperti zaman kerajaan uthmaniah yang mana Islam dihancurkan bukan kerana peperangan tetapi hanya dengan serangan pemikiran dan budaya. Jika kita lihat, baginda SAW juga telah menjadikan daulah sebagai alat utama dalam melaksanakan segala yang terkandung di dalam tuntutan –tuntutan iman kepada Allah. Pimpinan iman dan kenegaraan ummah muslimin di bawah Rasulullah SAW adalah merupakan kemuncak pengabdiaan manusia terhadap khaliqNya. Pimpinan ini jugalah yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai panduan yang mesti dicontohi oleh seluruh manusia hingga kini dan selamanya.

Maka perlunya pentarbiahan rohani dan jasmani yang secukupnya, untuk memahami konsep iman dan taqwa, amar ma'ruf dan nahi mungkar. As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan 10 ciri-ciri yang perlu ada pada setiap individu dan seseorang pimpinan iaitu faham, ikhlas, amal, tadhiyah, jihad, taat, thabat, tajarrud, ukhuwah, dan thiqah. Oleh itu persediaan adalah amat penting, kerana terkadang-kadang kita perlu menjadi "ad da'ie" dan juga kadang-kadang menjadi "mad'u" untuk mengelakkan daripada sifat riya' dan takabbur.

Semoga dengan kerjasama yang bersepadu dan erat diantara pimpinan dan ahli KPIPM khususnya, dapat melahirkan generasi pelapis kepimpinan yang mantap dalam segala aspek. Di samping sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing, bukan hanya mencari kesalahan dan menunding jari kepada kepimpinan yang ada tanpa memberi sebarang input yang baik untuk digunapakai oleh persatuan yang didokongi ini. Apabila kita tekad bersama, usaha di letak, dan tawakal di hati, akan dimudahkan jalan untuk kita dalam meneruskan perjuangan Islam ini insyaAllah.
Oleh :
Asma binti Mohammad Aziz

Lepasan Syariah Islamiah,
Universiti al Azhar,
Iskandariah