Friday, June 5, 2009

MENGENALI AJARAN SESAT DI AKHIR ZAMAN

Semakin hari, dunia kita mengalami bermacam-macam jenis perbuatan pelik manusia yang diistilahkan sebagai ajaran sesat. Ajaran sesat di seluruh dunia sudah lama muncul, kerana apa yang dikatakan sebagai sesat ialah mana-mana jenis pemikiran yang terkeluar daripada skop Islam. Atau dengan istilah yang lebih khusus, sejenis penyebaran pemikiran yang terpesong daripada akidah Islam.

Pelbagai istilah dan perkataan digunakan untuk menyesatkan manusia hari ini, kononnya merekalah yang membawa ajaran sebenar. Apa yang boleh kita lihat di seluruh dunia, di sana terdapat beberapa ajaran-ajaran yang tersimpang dari kebenaran dengan jelas dan nyata.

Golongan ini mendakwa bahawa mereka membawa Islam, sedangkan tersembunyi di belakang mereka gerakan Freemason, Sekularisme, Komusnisme dan sebagainya. Mereka meletakkan dan menokok tambah apa yang terdapat di dalam Akidah Tauhid, semata-mata untuk menghancurkan Islam. Contohnya :

1. Al Yazidiah

Kumpulan sesat yang ditubuhkan pada 132 Hijrah ketika Zaman Daulah Umawiyyah, yang pada mulanya diasaskan hanya sebagai gerakan politik ketika itu, tetapi semakin lama dipengaruhi dengan unsur-unsur kesesatan sehinggalah mereka menganggap bahawa Yazid bin Mu’awiyyah sebagai manusia suci.

Mereka mengatakan bahawa Yazid akan kembali sebagai as Sufyani pada akhir zaman untuk menyelamat dunia ini, menegakkan keadilan dan banyak lagi pegangan-pegangan sesat dan syariah-syariah mereka yang tersimpang dari ajaran Islam.

Selain itu mereka turut mensucikan Iblis (ketua Syaitan) dan Malaikat Izrail (pencabut nyawa), mempunyai perayaan khusus yang disambut pada permulaan Tahun Baru Masihi dan menambah beberapa rukun lagi pada Rukun Islam.

Gerakan ini tersebar ke Syria, Turki, Iran, Rusia, Iraq dan beberapa generasi mereka di Lubnan, Jerman dan Belgium. Bilangan mereka ketika ini sekitar 120 000 orang, iaitu 70 000 daripadanya berada di Iraq, dan selebihnya bertebaran ke seluruh dunia.

Sebahagian daripada mereka berdarah Arab, bertutur dengan Bahasa Kurdi, dan mereka memiliki sebuah perpustakaan bernama Perpustakaan al Umawi Li ad Dakwah al Arabiah, terletak di Jalan ar Rasyid di Baghdad.

2. Al Qaramithah

Gerakan ini disandarkan kepada Hamdan bin al ‘Asy’ath dari Khazastan. Golongan ini men“syiah”kan keluarga Baginda SAW dan menasabkan kepada Muhammad bin Ismail bin Jaafar as Sadiq. Hakikat mereka adalah Atheis seperti Mazdakiah dan Zaradasytiah, dan merosakkan akhlak.

Mereka juga bersembunyi di belakang Islam, sedangkan mereka adalah Majusi (menyembah matahari), berpegang dengan Falsafah Material. Mereka juga dipengaruhi dengan ajaran Khawarij dan banyak lagi kesesatan-kesesatan rekaan mereka.

Mereka menggambarkan Allah SWT sebagai seorang manusia, dan mengatakannya berdua (menduakan Tuhan). Pegangan mereka pada wahyu dan kenabian juga terpesong. Mereka menolak kewujudan Syurga dan Neraka, lebih-lebih lagi Hari Kiamat.

Mereka juga pernah membangunkan Negara Komunis dan mengharamkan pemilikan individu. Mereka tidak membenarkan wanita menutup aurat di hadapan orang lain supaya menimbulkan kasih sayang sedangkan untuk menggalakkan penzinaan. Selain itu, mereka juga tidak berpuasa, solat dan perkara-perkara fardhu yang lain.

Mereka juga menolak kebangkitan selepas mati, dan mengatakan bahawa syurga itu merupakan nikmat di dunia dan nerakanya ialah bersolat, berpuasa, haji dan berjihad. Kepimpinan, agama dan akhlak, kesemuanya adalah sesat semata-mata.

Ajaran sesat mereka tersebar di kalangan pekerja-pekerja, petani, orang Badwi dan beberapa golongan-golongan lemah. Gerakan yang bermula dari Parsi ini telah beralih ke Kufah dan Basrah. Kemudian tersebar lagi ke Bahrain dan Yaman, terus ke kawasan selatan Tanah Arab, Oman dan Khurasan. Mereka juga pernah memasuki Mesir di kawasan Ain Syams.

3. Al Isma’iliyyah

Isma’iliyyah adalah sekelompok manusia yang menasabkan kepada Imam Ismail bin Jaafar as Sadiq, hampir serupa dengan al Qaramthiah. Golongan ini terbahagi kepada tujuh fahaman yang kesemuanya sesat dan terpesong dari ajaran Islam.

3.1 al Isma’iliyyah al Qaramthiah
3.2 al Isma’iliyyah al Fathimiyyah
3.3 al Isma’iliyyah al Hasyashun
3.4 al Isma’iliyyah asy Syam
3.5 al Isma’iliyyah al Bahirah
3.6 al Isma’iliyyah al Aghakhaniah
3.7 al Isma’iliyyah al Wafiqah

Pada permulaannya mereka adalah sebuah kelompok dari Syi’ah, kemudian terjerumus ke lembah mengumpamakan maqam ketuhanan, perpindahan roh, mengingkari sifat-sifat Allah dan tidak bercanggah dengan apa yang terkandung di dalam al Quran dan Hadith Nabi SAW.

Pecahan daripada golongan ini tersebar ke merata dunia, contohnya al Qaramthiah tersebar ke kepulauan Arab, Syam dan Iraq. Al Fathimiyyah pula telah mendirikan sebuah negara yang terletak di barat Afrika dan menguasai Mesir dan Syam. Negara mereka jatuh ke tangan Islam, oleh Salehuddin al Ayubi.

al Aghakhaniah pula berada di Nirubi, Daru as Salam, Zanjabar, Madagascar, Congo, Belgium, India, Pakistan, Syria dan pusatnya terletak di Bandar Karasyi di Pakistan. Al Bahirah berada di sekitar Yaman, India, dan as Sawahil yang terletak berhampiran kedua-dua negara ini.

Al Hasyashun pula tersebar ke Iran, dan menguasai Istana Alimut, yang terletak di selatan laut Qazwain dan pemerintahannya semakin meluas. Mereka banyak menguasai istana (kubu) dan salah seorang daripada mereka terlibat dalam Perang Salib, dan menghadapi holokus tentera Mongol. Selain daripada itu, tersebar di wilayah-wilayah kecil.

Selain daripada 3 golongan ajaran sesat ini, masih banyak lagi yang sedang melata di seluruh dunia, antara yang disebut ialah An Nashiriah, Ad Darwiz, Al Hasyashun, Al Babiah dan al Baha’iyyah, Al Qadianiah, Al Hizb al Jumhuri (Sudan), Al Ahbasy, Al Ansar, Al Khomeiniyyah, Amal dan banyak lagi yang masih belum dikaji.

Ajaran Sesat di Malaysia

Malaysia, sebuah negara yang dikatakan sebagai Negara Islam tidak terkecuali daripada anasir ini. Pengkhususan saya di dalam tajuk ini, di dalam mendatangkan sebuah fakta yang terjadi di Malaysia, bahawa ajaran sesat di Malaysia bukanlah berada di peringkat mentah, tetapi sudah semakin teruk dan membarah.

Laporan Bernama.com bertarikh 20 Januari 2007 menyatakan bahawa sebanyak 102 ajaran sesat telah dibenteras dan 22 lagi masih lagi dalam pantauan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sebelum ini, pada tahun 2006 sebanyak 56 ajaran sesat telah diwartakan secara rasmi. Iaitu :

1. Nasrul Haq
2. Budi Suci
3. Al-Watan
4. Budi Suci Sejati
5. Jawa Faradin
6. Silat Sunda Pukulan Ghaib
7. Tusuk Hikmat
8. Ilmu Kebatinan
9. Potong Maya
10. Naluri
11. Kaula
12. Haqqullah Syahadah
13. Rampai
14. Wali Suci
15. Kalimat Sakti
16. Silat Pukulan Jarak Jauh
17. Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18. Zikir Sha`ban Islam Haq
19. Asal Wujud Garis Laksmana
20. Al-Ma`zat
21. “Trancendentel Meditation”- Maharisi Mahish Yugi
22. Ilmu Kebatinan
23. Abdul Manan bin Harun- Tolak Hadis
24. Ilmu Mentauhidkan Allah oleh Nasrun S.T.Qahar
25. Kumpulan Ikhwan/al-Mas
26. Kuasa Ghaib ( Tahan Diri)
27. Mohd Nordin Putih
28. Nasrun S.T.Qahar
29. Roslan Katimun atau Ajaran Wali Sembilan
30. Tariqat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya
31. Wali Sembilan
32. Khatijah binti Ali @ Puan Tijah
33. Syed Mutalib bin Syed Mohd Nordin
34. Ajaran Mohd Seman Al-Banjari
35. Al-Arqam
36. Golongan Anti Hadis
37. Ajaran yang disampaikan oleh Juruzon bin Abdul Latif atau dikenali juga sebagai (Hj) Ahmad al-Walidie (Pak Su)
38. Syiah
39. Ajaran Hj. Ghazali Othman Hulu Kelang
40. Ajaran Hj.Kadar Ahmad
41. Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
42. Ajaran ilmu Hakikat @ Jahar Dumin Hulu Langat
43. Tarikat Mufaridiah
44. Ajaran Hassan Anak Rimau
45. Tarikat Aurad Ismailiah
46. Ajaran Martabat Tujuh
47. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
48. Ajaran Sulaiman ( Bahtera Nabi Noh)
49. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit
50. Ajaran Ahmadiah/ Qadiani
51. Ajaran Mohd Nor Seman
52. Ajaran Ayah Pin
53. Ajaran Bahai
54. Al-Ma`unah
55. Ajaran Azhar Wahab
56. Ajaran Hj.Banuar

Ciri-ciri Ajaran Sesat

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyenaraikan ciri-ciri ajaran sesat dan penjelasannya di dalam buku Penjelasan Terhadap 58 Ciri-ciri Ajaran Sesat Di Malaysia, yang ditulis oleh Haji Abdul Hamid @ Yusoff bin Yunus. Di dalamnya juga dimuatkan sebanyak 7 kriteria-kriteria ajaran sesat dan 58 ciri-ciri yang dijelaskan.

Garisan-garisan tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama, Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura dan dinyatakan di dalam buku, Kriteria-kriteria Ajaran Sesat BAHEIS JPM 1994. Antara kriteria-kriterianya ialah :

Pertama
Kepercayaan kepada rukun-rukun iman dan asas-asas akidah secara bertentangan dan tidak selaras dengan akidah Ahli Sunnah Wa al Jamaah, seperti mempercayai kitab lain yang mampu menyaingi dan memansuhkan al Quran, mempercayai terdapat kiblat selain dari Kaabah dan seumpamanya.

Kedua
Mempertikai kebenaran al Quran atau Hadith Nabi SAW yang telah diakui keshahihannya oleh ulama’ Hadith.

Ketiga
Mana-mana ketua atau ahlinya yang mendakwa dirinya adalah nabi terakhir, Nabi Isa AS, Imam Mahdi al Muntazar atau seumpamanya.

Keempat
Kepercayaan kepada penyatuan beberapa agama terbesar di dunia sebagai sebuah agama yang sepatutnya menjadi anutan kepada semua manusia.

Kelima
Pendewaan diri, pemimpin atau mana-mana individu dalam kumpulan tersebut, secara bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wa Al Jamaah. Contohnya mendakwa (secara pasti) bahawa diri atau gurunya sebagai ahli Syurga, boleh menebus dosa, memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain seperti boleh bekahwin lebih daripada empat dan sebagainya.

Keenam
Mengadakan bid’ah atau pendapat baru yang bertentangan dengan akidah dan syariah yang telah ditetapkan dengan dalil Qath’ie yang tidak boleh dipertikaikan. Contohnya menghapuskan kewajipan berjihad, Solat Jumaat, puasa di Bulan Ramadhan, haji di Mekah dan seumpamanya.

Ketujuh
Mentafsir, menghuraikan al Quran atau Hadith Nabi SAW mengikut sesuka hati.

Kriteria-kriteria ini jelas menampakkan kepada kita, bahawa Islam meletakkan sempadan-sempadan. Namun akhir-akhir ini, sempadan-sempada tersebut telah dilanggar dan ditokok tambah sehingga menyesatkan manusia. Golongan ini sering mendakwa bahawa merekalah yang membawa kepada kebenaran sedangkan mereka jauh tersimpang dari kebenaran.

Selain itu, buku tersebut juga telah menyenaraikan sebanyak 58 ciri-ciri Ajaran Sesat, iaitu :

1. Mempercayai bahawa semua agama adalah sama
2. Mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang
3. Memansuhkan syariat Islam dan membuat syariat baru
4. Guru membuat pengakuan memegang kunci syurga
5. Mengaku Allah SWT menjelma dalam diri guru atau seseorang
6. Mempercayai bahawa makhluk-makhluk seperti kayu, batu atau lain-lain, memiliki kuasa mutlak
7. Menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT
8. Menghalalkan nikah adik beradik
9. Meminta pertolongan terus daripada orang yang telah mati (bukan bertawassul)
10. Mengaku bahawa gurunya sebagai nabi atau malaikat
11. Mempercayai kebangkitan nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW
12. Mempercayai wahyu turun selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW
13. Mengaku dirinya sebagai Nabi Isa AS
14. Syeikh atau gurunya mendakwa mempunyai mukjizat
15. Mempercayai roh orang mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru
16. Guru mengaku Imam Mahdi dan muridnya yang terkanan ialah Nabi Isa AS
17. Perbuatan zina, judi, minum arak dan segala bentuk dosa boleh dilakukan oleh guru khalifah terkatnya dan menjamin akan mendapat keampunan Allah SWT ke atas dosa pengikutnya
18. Amalan Haji tidak semestinya di Mekah, bahkan di tempat selain daripadanya juga dibolehkan
19. Sembahyang tidak perlu berjemaah dan tidak perlu mengadap kiblat
20. Mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib dan mampu menilik nasib seseorang
21. Islam seseorang tidak sah jika tidak diislamkan oleh gurunya
22. Semua manusia melihat Allah SWT di dunia ini
23. Ajaran hendaklah dirahsiakan oleh pengikut, dan sekiranya mereka membocorkannya akan ditimpa bala
24. Guru atau murid membuat pengakuan menerima wahyu
25. Mendakwa bahawa dirinya sebagai wakil Nabi, dan mampu memberi syafaat kepada muridnya
26. Mengaku diri atau gurunya ma’sum (tiada dosa)
27. Mempercayai roh orang mati menjelma ke dalam jasad orang hidup
28. Boleh memanggil roh orang mati (tahdhir al arwah) dalam amalan menurun oleh bomoh atau tukang sihir
29. Boleh meramal kedatangan Imam Mahdi dan Hari Kiamat
30. Mempercayai bahawa orang tertentu ghaib (tidak mati) dan akan lahir semula sebagai Imam Mahdi
31. Pengikut tidak boleh berkahwin dengan orang yang bukan pengikut ajaran tersebut
32. Murid-murid tidak dibenarkan mengahwini janda gurunya
33. Huruf-huruf dalam perkataan tertentu mempunyai lambangnya tersendiri
34. Al Quran mempunyai makna batin, yang berbeza (menyalahi) dengan maknanya yang zahir
35. Islam itu ada zahir dan batinnya. Batinnya ialah isi, setelah sudah memperolehi isinya, kulit tidak lagi berguna
36. Mendakwa dengan melalui tarekatnya, Allah SWT akan menurunkan Nur (cahaya) ke dalam badan Nabi Adam AS, turun temurun ke dalam badan semua nabi dan seterusnya ke dalam badan-badan imam (syiah) atau guru-guru, berterusan sehingga tidak berakhir
37. Mendakwa dirinya sebagai penjelmaan sahabat-sahabat Nabi SAW
38. Nikah menurut syariat hanyalah adat, oleh itu ia perlu bernikah sekali lagi yang dinamakan sebagai nikah batin
39. Ibadah Solat sudah memadai dengan niat semata-mata (lintasan hati)
40. Penyerahan rohani/jasmani kepada guru melalui nikah secara batin
41. Setiap murid dikehendaki menyerahkan diri, isteri, anak dan harta benda kepada gurunya
42. Amalan seperti zikir mampu menangguhkan tarikh Hari Kiamat
43. Sesiapa yang mengikut tarekatnya sahaja dibolehkan masuk ke Syurga
44. Mempercayai bahawa bacaan seseorang guru itu kepada sesuatu benda seperti batu, gunung dan lain-lain berkuasa memberi kesan baik atau buruk
45. Mempercayai bahawa dirinya selaku guru dan anak muridnya sahaja yang layak mendapat pertolongan Allah SWT (ma’unah)
46. Gurunya mampu memberikan kuasa yang luar biasa kepada pengikut-pengikunya
47. Mengaku dan mempercayai seseorang tu boleh berhubung terus dengan Allah SWT melalui Nur Muhammad SAW yang berada di dalam dirinya
48. Guru mendakwa bahawa tugas-tugas para Rasul diamanahkan kepadanya
49. Bersemadi di tempat-tempat gelap memusatkan kepada satu-satu hajat yang bukan dari ajaran Islam
50. Sebelum pergi menunaikan haji ke Mekah, dikehendaki bersuluk terlebih dahulu di Panca Budi di Medan atau memadai di Medan sahaja
51. Mendakwa sebagai wali sedangkan bergelumang dengan maksiat
52. Murid-muridnya tidak dibenarkan mengahwini mana-mana wanita yang diminati oleh gurunya
53. Meninggalkan Solat Jumaat kerana bersuluk
54. Mengagung-agungkan Yahudi dan keturunannya sebagai kerabat dan perlu dicontohi
55. Murid-murid dilarang berbincang sesama mereka jika terdapat kemusykilan, tetapi hendaklah dirujuk kepada guru
56. Mendakwa bahawa ajaran tarekatnya diambil terus daripada Rasulullah SAW dalam keadaan berjaga yang bertentangan dengan syara’
57. Mengikut secara membuta tuli ajaran gurunya, walaupun gurunya melakukan kesalahan dan dosa
58. Pengikut-pengikut lelaki atau perempuan dikehendaki melalui ujian yang dijalankan oleh gurunya di dalam sebuah bilik khas dan bersumpah tidak akan membocorkan apa yang terjadi di dalam bilik tersebut

Inilah dunia hari ini yang semakin menuju ke gerbang kiamat, segala yang dinyatakan oleh Nabi SAW semakin hari semakin terpapar di skrin mata manusia. Masihkah kita leka dengan kehidupan yang akan habis ini? Bagaimanakah keadaan sekeliling kita yang sentiasa menumbuhkan pemikiran-pemikiran sesat? Inilah tanda-tanda kiamat.

Disediakan oleh :
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Tahun 4, Kuliah Usuluddin,
Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar, Kaherah